Berita Utama

Utamakan individu belum divaksin sebelum beri suntikan ‘booster’

Walau vaksin tunjuk pengurangan antibodi, memori sel-B dan sel-T akan tetap ada

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1443H, Selasa – Keutamaan pemberian vaksin perlu diberikan kepada orang yang belum divaksinasi terlebih dahulu sebelum pemberian suntikan penggalak (booster shot).

Penasihat kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam dalam satu siri ciapan di laman Twitter, hari ini mengatakan bahawa para pakar bersetuju bahawa data untuk suntikan penggalak adalah tidak cukup kuat pada masa ini.

“Adakah ia berkesan? Mungkin ya. Adakah perlu sekarang? Belum. (Keutamaan) harus diberikan kepada orang yang tidak divaksinasi terlebih dahulu. Vaksinkan sebanyak mungkin orang.

“Memberi suntikan penggalak untuk meningkatkan keberkesanan bagi seseorang yang sudah mempunyai perlindungan (divaksin) tidak harus diutamakan daripada mereka yang tidak mempunyai perlindungan (tidak divaksinasi). Kecuali untuk keadaan yang mendesak,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengatakan bahawa Malaysia sudah memulakan perbincangan dengan syarikat farmaseutikal mengenai kemungkinan mendapatkan suntikan penggalak vaksin COVID-19 serta vaksin untuk kanak-kanak menjelang tahun depan.

Beliau mengatakan bahawa walaupun perbincangan sedang berlangsung, cadangan dari pakar kesihatan tempatan mengenai perlunya dos tambahan akan diberikan minggu depan.

Sementara itu, Dr Mohd Ghows berkata, walaupun semua vaksin menunjukkan pengurangan antibodi, memori sel-B dan sel-T akan tetap ada.

“Para saintis melihat kepada apa yang dipanggil sebagai hubung kait perlindungan vaksin (tahap antibodi peneutralan diperlukan),” kata Dr Mohd Ghows, sambil menambah bahawa kajian sedang dilakukan mengenai mengapa ujian antibodi untuk orang ramai tidak digalakkan.

Kerajaan juga telah menasihati orang ramai agar tidak menjalani ujian antibodi COVID-19 kerana masih belum ada garis panduan klinikal yang dikeluarkan mengenai isu ini.

Mengenai hal ini, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa garis panduan yang dikeluarkan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit dan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat serta negara-negara lain menunjukkan bahawa ujian tersebut tidak digalakkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button