Berita Utama

Zahid Hamidi calon PM?

Dijangka tawar diri jika Muhyiddin gagal dapat majoriti di Parlimen

BANGI, 1 Muharam 1443H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memperoleh sokongan majoriti di Parlimen atau membuat keputusan meletak jawatan.

Walaupun UMNO tidak memiliki jumlah sokongan yang mencukupi, Ahmad Zahid dijangka memujuk Ahli-Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyokong beliau.

Sumber dalaman UMNO mendakwa, Ahmad Zahid perlu mendapatkan sokongan dengan cara mana sekali pun bagi memastikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

”Ahmad Zahid tidak akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 ‘No Anwar No DAP.’,” kata sumber kepada Utusan TV, hari ini.

Semalam dalam satu wawancara, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menjadi saksi bahawa Ahmad Zahid melafazkan sumpah di hadapan beberapa Ahli Parlimen bahawa tidak akan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Sumber itu seterusnya mendakwa, Ahmad Zahid juga dilihat sukar untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana tindakan itu akan menyebabkan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu marah.

”Beliau sebaliknya akan menggunakan naratif kerajaan baharu ini perlu diterajui oleh UMNO selaku parti Melayu dan Islam terbesar di negara ini,” dakwa sumber.

Menurut sumber itu lagi, kumpulan Ahmad Zahid sedang giat memujuk Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button