Berita Utama

512 polis N.Sembilan, ahli keluarga dijangkiti COVID-19 sejak Januari lepas

Daripada jumlah itu seorang anggota polis, seorang ahli keluarga telah meninggal dunia

SEREMBAN, 2 Muharram 1443H, Rabu – Seramai 512 anggota polis Negeri Sembilan dan ahli keluarga mereka disahkan positif COVID-19 serta dikuarantin sejak Januari tahun ini berikutan penugasan dalam memerangi penularan wabak itu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Che Zakaria Othman berkata daripada jumlah itu seorang anggota polis dan seorang ahli keluarga telah meninggal dunia namun jangkitan dalam kalangan warga polis masih terkawal.

“Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 545 anggota yang dijangkiti sepanjang tahun lepas sebab belum habis tahun, kita sudah ada 512 yang dijangkiti.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah setakat ini majoriti yang dijangkiti itu hanya pada tahap satu dan dua sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di sini hari ini.

Justeru, menyedari risiko berkenaan beliau meminta anggota polis dan ahli keluarga mereka supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ketika menjalankan tugas selain anggota dan ahli keluarga divaksin.

Dalam pada itu, beliau berkata polis kontinjen Negeri Sembilan menerima 1,400 permohonan bantuan termasuk makanan daripada rakyat yang memerlukan di negeri itu sama ada melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon atau rondaan anggota di setiap daerah.

“Oleh itu, dengan adanya sumbangan daripada semua pihak, kami akan mengagihkan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Che Zakaria berkata pihaknya juga sentiasa memperketatkan penguatkuasaan dan kawalan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini dan setakat ini sebanyak dua kes dikesan membabitkan daerah Kuala Pilah dan Port Dickson. – Bernam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button