Berita Utama

Tunggu PRU16 kalau nak ubah kerajaan

Pembangkang patut jadi pengawas yang baik pada kerajaan ketika ini

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Syawal 1444H, Rabu – Pembangkang sewajarnya bersabar dan tidak gelojoh untuk menukar kerajaan, tidak kira apa tujuan sekali pun baik untuk kepentingan peribadi mahupun kononnya demi kemaslahatan rakyat.

Dakwaan bahawa pembangkang mempunyai sokongan cukup 126 kerusi selain mahu menggantikan kerajaan yang baru sahaja melaksanakan tugas kira-kira lima bulan lebih adalah sesuatu yang kurang wajar, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Tegasnya, kerajaan hari ini dipilih oleh Yang Di-Pertuan Agong selepas beberapa parti politik bergabung membentuk 148 sokongan majoriti 2/3, yang bermaksud kerajaan sekarang adalah kerajaan yang kukuh.

“Tugas kerajaan sekarang adalah fokus menyelesaikan isu berkait dengan masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan yang kurang dan kerajaan juga bertanggungjawab untuk memperbaiki ekonomi di samping mengurangkan beban hutang negara. 

“Maka, sepatutnya diberi peluang kepada kerajaan yang ada sekarang untuk melaksanakan tugas mereka. 

“Pertukaran kerajaan hanya wajar dibuat melalui pilihan raya akan datang iaitu Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau turut berpandangan bahawa kurang wajar untuk menimbulkan spekulasi pertukaran kerajaan ini kerana umum tahu bahawa negara ini sudah ada undang-undang Anti Lompat Parti. 

Justeru, dakwaan mengatakan terdapat 126 sokongan dengan Akuan Bersumpah (SD) sebenarnya tidak relevan kerana pihak Istana Negara tidak akan melayan sebarang bentuk penyerahan SD.

Ini kerana, katanya, sokongan kepada penubuhan kerajaan itu mestilah dibuat secara blok. 

“Individu-individu yang terdiri daripada Ahli Parlimen ini, mereka tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan parti. 

“Sekiranya mereka berbuat demikian, kerusi yang mereka wakili itu akan diisytihar kosong. 

“Dan dakwaan ini juga dibuat sewaktu YDPA berada di luar negara yang dijangka pulang pada 15 Mei ini. Saya fikir sepatutnya pada masa ini pembangkang memfokuskan kepada institusi semak dan imbang di Parlimen,” katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berkata, pembangkang boleh menjadi pengawas, kerana sekiranya kerajaan melakukan kesilapan dan berlaku ketidaktelusan dalam pengurusan negara, maka pembangkang boleh memainkan peranan mereka sebagai semak dan imbang di Parlimen. 

“Saya fikir itu yang sebaiknya dimanfaatkan oleh pembangkang dengan melaksanakan tugas mereka.

“Sekiranya berterusan negara kita berpolemik untuk menukar kerajaan, ia akan memberikan impak yang buruk kepada negara dari segi imej antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai tidak stabil.

“Ini akan mempengaruhi keputusan antarabangsa terutama pelabur asing untuk membuat pelaburan di negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button