Berita Utama

Aspirasi Muafakat Nasional antara UMNO, PAS semakin kabur

UMNO tak stabil akibat perpecahan dalaman, PAS pula mahu ‘play safe’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Muharram 1442H, Rabu – UMNO sudah tidak mampu menjadi tonggak kepada kestabilan negara serta mengekalkan ahlinya, selagi ia berdepan dengan krisis dan perpecahan dalaman.

Pemerhati politik, Ustaz Ir Ts Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, krisis kepemimpinan UMNO yang semakin ketara tidak akan menemui titik noktah selagi ahli veteran parti itu tidak mewariskan kepimpinan kepada generasi baharu.

Malah, kedudukan Muafakat Nasional (MN) terbina antara UMNO dan PAS sejak 2019, yang diharapkan ramai orang Melayu dan Islam menjadi penyatu bangsa sudah tidak menampakkan jalannya lagi.

Tegasnya, PAS dilihat tersepit di tengah kancah politik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahkan, ‘play safe’ dalam mengeluarkan sesuatu pandangan yang benar. 

Keadaan itu, katanya, membuatkan PAS akhirnya terpaksa memilih Perikatan Nasional (PN) untuk mengekalkan kuasa dan memberi kata dua tidak akan bersama MN jika UMNO bekerjasama dgn PKR. 

“Kedudukan Muafakat Nasional sebenarnya banyak bergantung kepada hala tuju kepimpinan UMNO ketika ini walaupun mungkin tidak selari dengan pandangan akar umbi. 

“MCA dan MIC hanya sentiasa mencari peluang bagi memastikan kuasa dan survival politik mereka, kini beralih menyokong PN. Kita tidak pernah lupa tindakan MCA meninggalkan BN ketika UMNO sedang tenat dahulu. 

“Aspirasi Muafakat Nasional yang kita idam-idamkan sudah semakin kabur terutamanya ketika MCA dijulang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. 

“Malah, MIC juga sudah mula berani menuntut kerusi majoriti Melayu sebagai bekalan untuk pilihan raya umum nanti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Khoushaini berpandangan, ekosistem politik yang ada sekarang ini adalah tidak sihat kerana terlalu kepartian sehingga melupakan agenda-agenda yang lebih besar. 

Di kala keadaan yang semakin tidak menentu ketika ini, beliau merasakan bahawa idea ‘grand coalition’ atau gabungan besar yang dibawa oleh Tan Sri Annuar Musa sebelum ini adalah satu idea yang baik dan sihat untuk masa depan politik negara.

Pelaksanaan gabungan besar ini akan menjadikan kepimpinan tidak terikat dengan status quo dominasi parti politik sedia ada, katanya.

Tambahan pula, kata Khoushaini, generasi baharu sudah tidak lagi terikat kepada semangat kepartian, malah golongan ini lebih suka kepada calon muda yang dilihat hebat, berwibawa dan berprestasi tinggi. 

“Usaha untuk mendampingi anak-anak era milenia ini tidak mudah juga, mereka mempunyai corak komunikasi dan karakter yang berbeza berbanding generasi sebelumnya. 

“Justeru, bagaimana parti-parti politik mengatur strategi dan medium kempen akan mempengaruhi sokongan mereka, ianya situasi yang sangat menarik untuk diperhati dan dianalisis,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button