Assad lulus Kabinet baharu Syria diketuai Arnous
Portfolio utama tidak berubah daripada kerajaan sebelumnya

DAMSYIK, 2 Muharram 1443H, Rabu – Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam satu keputusan, semalam meluluskan Kabinet baharu yang diketuai oleh Hussein Arnous, kurang daripada dua minggu setelah beliau ditugaskan untuk membentuk pemerintahan baharu.
Pengumuman mengenai Kabinet dengan 21 anggota baharu itu diumumkan melalui laman Twitter oleh Presiden Syria, tanpa perubahan ketara daripada Kabinet sebelumnya yang diketuai oleh Imad Khamis.
Portfolio utama pertahanan, urusan luar negeri, urusan dalaman dan kewangan tetap tidak berubah daripada kerajaan sebelumnya, manakala wajah baharu diperkenalkan di Kementerian Maklumat, Urusan Sosial, Perdagangan Domestik dan Perlindungan Pengguna.
Menteri Maklumat baharu ialah Boutros Hallaq, yang juga memegang jawatan Naib Presiden di Universiti Damascus, menurut media tempatan.
Sementara itu, Amru Salem yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Domestik dan Perlindungan Pengguna sebelumnya memegang portfolio Menteri Komunikasi dan juga penasihat Presiden Assad.
Wajah baharu ketiga adalah Muhammad Seif al-Deen, yang dilantik sebagai Menteri Urusan Sosial.
Beliau sebelumnya memegang jawatan Timbalan Menteri Pekerjaan Awam dan Perumahan serta pengarah urusan sosial di kementerian yang sama.
Rombakan Kabinet berlaku hampir sebulan setelah Assad, yang dipilih kembali berkuasa dengan majoriti besar pada bulan Mei, mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal keempat selama tujuh tahun.
Perlembagaan negara menghendaki Kabinet dibubarkan dengan berakhirnya tempoh presiden.
Ini adalah Kabinet kerajaan kedua yang diketuai oleh Arnous, seorang yang setia kepada diktator Assad, yang dilantik sebagai perdana menteri baru, menggantikan Imad Khamis, pada bulan Jun tahun lalu.
Arnous, 67, telah memegang jawatan penting kerajaan, termasuk gabenor wilayah Dayr al-Zawr yang bersempadan dengan Iraq dan wilayah Quneitra di selatan Syria. Pelantikan terakhirnya adalah Menteri Sumber Air.
Kerajaan baharu menghadapi tugas berat untuk menghidupkan kembali ekonomi negara dilanda perang selama bertahun-tahun yang ditaja oleh negara asing, melumpuhkan sekatan ekonomi dan masalah kewangan di negara jiran Lubnan. – Agensi