Berita Utama

COVID-19: 98.1 peratus kes baharu di kategori 1 dan 2

400 kes lagi dari kategori 3,4 dan 5: Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 2 Muharram 1443H, Rabu – Sebanyak 20,380 kes atau 98.1 peratus daripada 20,780 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, adalah daripada kategori satu dan dua, iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, 400 kes lagi atau 1.9 peratus adalah daripada kategori tiga (radang paru-paru), empat (memerlukan oksigen) dan lima (kritikal).

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, hanya 5,138 kes atau 24.7 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Katanya, sebanyak 17,973 kes sembuh dilaporkan hari ini, manakala kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 233,358.

Menurut Dr Noor Hisham, 211 kematian direkodkan hari ini melibatkan 184 warganegara manakala 27 bukan warganegara.

Katanya, 1,053 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 546 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata sebanyak 31 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah yang tertinggi ialah kluster tempat kerja iaitu 18, diikuti kluster komuniti sebanyak 11 dan dua kluster kumpulan berisiko.

Beliau berkata, sebanyak 2,776 kluster telah tamat, manakala 1,258 kluster masih aktif di seluruh negara.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button