Berita Utama

Hanya Majlis Raja-Raja boleh hentikan sikap gila pemimpin politik rebut kuasa

Denyut nadi rakyat makin lemah, kewangan dan ekonomi rumah tangga semakin kritikal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Muharram 1443H, Rabu – Tindakan lebih keras dan tegas daripada kepimpinan tertinggi negara termasuk campur tangan Majlis Raja-Raja dilihat mampu menyekat kegilaan pemimpin utama parti politik khususnya pembangkang. 

Realitinya, pemimpin politik hari ini berebut kuasa kerana gagal menjiwai keperluan rakyat yang semakin tersepit dengan pelbagai isu dan masalah. 

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda mempersoalkan mengapa masalah dan kegusaran rakyat ini tidak dipandang serius oleh pemimpin politik yang sibuk berebut kedudukan.

Sikap mabuk kuasa menjadi punca pemimpin politik hilang kewarasan, sehingga sanggup membelakangkan kebajikan rakyat, katanya.

“Denyut nadi rakyat semakin lemah, kewangan dan ekonomi rumah tangga semakin kritikal, intitusi keluarga juga dilihat terkesan ibarat retak menanti belah.

“Desakan dan suara rakyat langsung tidak mendapat perhatian. Tiada pertimbangan, hilang kewajaran dalam membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net. 

Sementara itu, mengulas isu kematian akibat COVID-19 yang semakin hari semakin bertambah, Ustaz Bazlan mengakui sejak varian Delta merebak, kesihatan negara dan kerja-kerja rawatan pesakit COVID-19 semakin lumpuh.

“Jika dulu kematian hanya melibatkan warga emas dan pesakit kronik. Hari ini kematian sudah mula menghantui masyarakat muda yang mengalami komplikasi akibat kegagalan sistem imunisasi dan bantuan pernafasan.

“Kita juga baru dikejutkan dengan kematian artis terkenal, Siti Sarah Raissuddin yang pergi meninggalkan 4 orang anak termasuk anak yang baru dilahirkan dan beberapa lagi kes kematian yang perlu dihadapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) kedoktoran dan kesihatan demi menyelamatkan kandungan,” katanya.  

Atas sebab itu, Ustaz Fahmi menegaskan rakyat memerlukan campur tangan institusi diraja untuk membetulkan keadaan, kerana itu sahaja jalan terakhir yang sentiasa memayungi dan memenangi suara rakyat.

“Kami memohon kebawah duli yang Maha Mulia tuanku Yang Di-Pertuan Agong untuk memastikan kestabilan negara dan kebajikan rakyat terus terbela. Daulat Tuanku,” katanya memuji titah Sultan Johor menegur pemimpin politik supaya menghentikan perebutan kuasa.

Terdahulu, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa kecewa kerana ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa tatkala rakyat dalam keadaan susah. 

Baginda bertitah agar pemimpin menginsafi hakikat sebenar kuasa pemerintahan sempena tahun baharu hijrah hari ini.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan,” titahnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button