Berita Utama

Kenyataan media Aman Palestin mengenai kutipan tabung derma Aman Palestin di Perlis

Kami merujuk kepada perkara di atas khususnya yang berkait dengan isu kutipan derma di negeri Perlis yang dimuat naik di dalam satu status Facebook dengan nama PROmediaTAJDID pada pukul 12.24 tengahari bertarikh 11 Oktober 2023. Status berkenaan boleh dibaca pada pautan berikut:

https://www.facebook.com/promediatajdidoriginal/posts/pfbid0nikJYX7iDmKSMSzUQV1hCtqAo7YCnotkChx2ivG742LzEXAyuJyoCmQqMD9oS5srl

Pengendali portal tersebut antara lain telah memetik dan menyiarkan kenyataan seperti berikut: Surat daripada Mufti Perlis Berkaitan Pihak Yang Membuat Kutipan Tabung Aman Palestin Di Premis Agama Negeri Perlis.

Mufti Perlis di dalam surat tersebut berkata, “Untuk itu, pihak Jabatan ini ingin memberikan pandangan agar pihak Jabatan tuan tidak membenarkan pertubuhan tersebut itu membuat kutipan di premis-premis agama Islam di negeri ini sehingga siasatan dan kepastian diperolehi“.

Petikan kenyataan Mufti Perlis ini dapat dibaca melalui salinan surat bertarikh 24 Ogos 2023 yang dipaparkan di dalam status di atas. Kami ingin menyatakan seperti berikut:

1. Aman Palestin adalah sebuah pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan yang didaftarkan di Malaysia pada 3 Januari 2006 dan sepanjang tempoh kewujudannya sehingga hari ini telah melaksanakan projek-projek bantuan kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat, khemah-khemah pelarian di Lubnan, Syria dan Yaman meliputi kempen Ramadan Bersamamu, Korban di Bumi Anbia, Bantuan Musim Sejuk, Pembinaan Sekolah, Hospital dan Masjid, Bantuan Pembiayaan Keluarga Miskin, Anak Yatim dan Bantuan Biasiswa termasuk juga di dalam negara sendiri seperti Bantuan Banjir, Bantuan Persekolahan, Bantuan Covid-19 dan Bantuan Ramadan serta Ibadah Korban.

2. Aman Palestin juga menjalankan kutipan-kutipan derma di seluruh negara melalui cawangan-cawangan negeri di mana setiap kutipan akan diawali terlebih dahulu dengan surat kebenaran daripada pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

3. Bagi negeri Perlis, Aman Palestin telah mendapat surat kebenaran untuk memungut derma khairat di negeri Perlis dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis bertarikh 7 Jun 2023 dan untuk tujuan tersebut pengurusan Aman Palestin negeri Perlis telah meletakkan tabung-tabung derma di premis-premis perniagaan, institusi-institusi agama dan pendidikan dan sebagainya. Kutipan derma ini berjalan tanpa sebarang masalah sehinggalah perhatian Aman Palestin dirujukkan kepada status portal media di atas.

4. Aman Palestin merasa terkejut dan hairan apabila membaca kenyataan Mufti Perlis melalui isi kandungan surat yang dipaparkan.

5. Sehubungan dengan itu, Aman Palestin ingin mendapat kepastian dan penjelasan daripada pihak Mufti Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis:

(i) Adakah surat kebenaran memungut derma khairat dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis bertarikh 7 Jun 2023 telah terbatal atau dibatalkan?

(ii) Apakah yang dimaksudkan dengan “hal-hal yang tidak jelas dan menimbulkan persoalan berhubung dengan kutipan Tabung Aman Palestin?”

(iii) Pihak manakah yang telah membuat aduan dan meminta supaya Aman Palestin disiasat berkaitan wang kutipan yang dikumpulkan oleh Aman Palestin?

(iv) Adakah terdapat sebarang laporan polis, laporan kepada Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Perlis mengenai wang kutipan Aman Palestin?

(v) Adakah Jabatan Mufti Perlis boleh memberi “arahan” secara tersirat supaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis melarang Aman Palestin membuat kutipan di premis-premis agama Islam di negeri Perlis sehingga siasatan selesai dan kepastian diperolehi?

(vi) Pihak manakah yang membuat siasatan dan apakah status terkini siasatan tersebut?

(vii) Bagaimanakah dan bolehkah surat rasmi di antara jabatan kerajaan negeri Perlis dapat sampai ke tangan portal PROmediaTAJDID dan disebarkan kepada orang awam?

(viii) Mengapakah pihak PROmediaTAJDID memilih tarikh hari ini (11 Oktober 2023) untuk menyiarkan isi kandungan surat Jabatan Mufti Negeri Perlis bertarikh 24 Ogos 2023, iaitu setelah hampir dua bulan berlalu?

Persoalan-persoalan di atas perlu dijawab memandangkan ia melibatkan nama baik, kewibawaan dan integriti Aman Palestin sebagai pertubuhan berdaftar yang sah mengikut undang-undang Malaysia.

Aman Palestin sangat kesal dengan perkembangan ini di saat umat Islam dan rakyat Palestin sedang bergelut dengan kekejaman dan serangan harian yang bertali arus daripada pihak penjajah Israel, dan di saat semua kakitangan dan pihak pengurusan Aman Palestin di seluruh negara begitu sibuk dan tidak menang tangan untuk menguruskan bantuan kepada saudara-saudari kita di Palestin, ia harus berhadapan dengan fitnah dan tohmahan yang tidak bertanggungjawab di kampung halaman sendiri.

Justeru itu Aman Palestin ingin menegaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil apa sahaja tindakan yang wajar dan munasabah (termasuk tindakan undang-undang) demi mempertahankan nama baik, kewibawaan dan integriti pertubuhan ini.

Aman Palestin menuntut supaya mana-mana pihak yang cuba menuduh Aman Palestin dengan tuduhan, tohmahan dan fitnah liar, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab supaya mengemukakan apa sahaja bukti kukuh yang boleh mensabitkan pertubuhan ini dengan salah laku, rasuah, penipuan, penyelewengan, penggelapan wang, “scamming” dan seumpamanya.

Aman Palestin juga menyeru supaya umat Islam, para penyumbang dan para pendukung tidak terpengaruh dengan sebarang percubaan untuk mengelirukan mengenai khidmat dan aktiviti bantuan kemanusiaan melalui Aman Palestin dan tetap konsisten menghulurkan bantuan secara ikhlas dan yakin.

“Keprihatinan Palestin Tanggungjawab Kami”

#BangkitBerjuangBersama
#TaufanAlAqsa
#SebarkanKemenanganAkhiriPenjajahan

BANGKIT, BERJUANG, BERSAMA

Aman Palestin Berhad
12 Oktober 2023

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button