Berita Utama

Kes makin meningkat, sesi persekolahan September ini wajar ditangguh: iGuru

Rangka pelan dan agenda jelas jika PdPR dilanjutkan ke hujung tahun

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 2 Muharram 1443H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September ini.

Gesaan itu dibuat ekoran mengambil kira kadar kes jangkitan COVID-19 di negara yang masih melebihi 20,000 sehari.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menyarankan KPM supaya mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kongres dan data terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini kerana, jika kes semakin meningkat ia menjadi kebimbangan dan kerisauan ibubapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Di sini saya melihat sekolah wajar ditangguhkan ke tempoh bersesuaian sehingga meyakinkan semua pihak seperti sekolah, guru, ibubapa dan murid-murid,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Mohd Azizee berkata, KPM juga perlu membuat keputusan yang jelas dan tepat berdasarkan data sains untuk mengelakkan sekolah dibuka serta ditutup.

Sebaiknya KPM perlu ada pelan dan agenda jelas jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan ke hujung tahun untuk mengelak keciciran murid serta mengatasi kelesuan motivasi ketika PdPR, katanya.

Justeru, beliau mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan KPM sekiranya masih kekal meneruskan rancangan pembukaan sekolah bulan depan iaitu:

 1. Mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan perlu membentangkan SOP khas untuk pelajar yang tidak divaksin yang berada di dalam dan luar kawasan sekolah;

 2. Menyelesaikan vaksinasi komuniti sekolah hingga mencapai tahap imuniti 90 peratus, termasuk juga vaksinasi kepada ibu bapa pelajar;

 3. Membenarkan program vaksinasi kepada pelajar peperiksaan khususnya pelajar STPM  dan STAM yang sudah mencapai umur 18 tahun;

 4. Pembukaan sekolah secara berfasa dengan keutaman kepada sekolah di luar bandar dan pedalaman yang kurang murid, berada di zon hijau dan kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok;

 5. Melaksanakan penggiliran murid ke sekolah mengikut keutamaan. Murid-murid pra-sekolah dan tahap satu diberikan keutamaan bagi menangani isu penguasaan 3M;

 6. Kuasa autonomi kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menentukan apa yang terbaik untuk sekolah dari sudut pembukaan dan pelaksanaan pengajaran;

 7. Ada petunjuk kes baharu harian ke paras yang munasabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button