Berita UtamaDunia

New Zealand dinasihat tutup sempadan hingga 2022: Panel kerajaan

Hanya 21 peratus dewasa divaksin setakat ini, perlu lebih masa sebelum sempadan dibuka

WELLINGTON, 2 Muharram 1443H, Rabu – New Zealand perlu menutup sempadannya hingga awal 2022 dan dibuka kembali hanya setelah sebahagian besar orang dewasa telah divaksin, kata panel yang dilantik oleh kerajaan, hari ini.

Dikatakan kali terakhir negara itu melaporkan kes penularan COVID-19 tempatan adalah pada bulan Februari.

Panel berkata, negara itu harus mengikuti strateginya untuk menghilangkan virus tersebut supaya tidak memperburukkan sistem kesihatan, lebih-lebih lagi apabila virus itu bermutasi dengan cepat di luar negara.

“Golongan penasihat menganggap bahawa strategi penghapusan COVID-19 bukan sahaja berdaya maju, tetapi juga pilihan terbaik pada tahap pandemik ini,” kata panel dalam sebuah laporan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mendapat pujian antarabangsa kerana mengekang penularan COVID-19 tempatan melalui sekatan pergerakan ketat dan penutupan sempadan pada bulan Mac 2020. 

Negara ini hanya mencatatkan 2,500 kes dan 26 daripadanya kematian.

Kerajaan dilaporkan akan mengumumkan rancangan untuk pembukaan semula minggu ini, berdasarkan nasihat para pakar.

“Cabaran untuk menangani pengimportan virus melalui sempadan kita tidak boleh diremehkan.

“Oleh itu, kami menyokong gagasan bahawa pembukaan kembali sempadan pada tahun 2022 harus dimulakan dengan cara yang dirancang dengan cermat dan bertahap…,” kata panel itu dalam sebuah laporan.

Panel turut mencadangkan program vaksinasi New Zealand harus diselesaikan sebelum sempadan dibuka semula.

Setakat ini hanya 21 peratus rakyat sudah diberi vaksin sepenuhnya.

“Kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memperkuatkan sempadan kita dan meningkatkan pertahanan kesihatan kita, termasuk melalui pemberian vaksin, sebelum kita dapat membuka sempadan dengan lebih selamat, dan itu akan memerlukan lebih banyak masa untuk mempersiapkan diri dengan betul,” kata Menteri Kesihatan Bersekutu, Ayesha Kata Verrall dalam satu kenyataan.

Beliau mengatakan bahawa nasihat panel itu berevolusi kerana munculnya varian Delta yang sangat menular.

Perniagaan dan sektor awam yang menghadapi kekurangan pekerja meminta pembukaan lebih cepat, tetapi panel mengatakan hal itu akan membuat negara terdedah terhadap jangkitan.

Ardern minggu lalu membuka perjalanan bebas kuarantin sehala untuk pekerja bermusim dari Samoa, Tonga dan Vanuatu untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri hortikultur.

New Zealand bagaimanapun menangguhkan ‘gelembung’ perjalanan bebas kuarantin dengan Australia pada bulan Julai berikutan penularan varian Delta di sana. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button