Berita Utama

Pegawai kanan PBT disyaki terima rasuah direman 3 hari

Perintah reman dikeluarkan majistret selepas membenarkan permohonan SPRM

JOHOR BAHRU, 2 Muharram 1443H, Rabu – Seorang pegawai kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan di sini direman tiga hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Permohonan reman dikemukakan bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pegawai kanan berkenaan yang memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret di sini pada kira-kira 9 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Semalam, pegawai kanan berkenaan yang merupakan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan kini bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru ditahan pada 3 petang di Pejabat SPRM Johor.

Beliau disyaki menerima rasuah daripada kontraktor ketika berkhidmat di MBIP. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button