Berita UtamaIstimewa

Sukar untuk Zahid dicalon jawatan PM kerana kluster mahkamah

UMNO tiada pilihan lain selain bentuk kerjasama dengan pembangkang atau buat jajaran baru bersama PN

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Muharram 1443H, Rabu – Beban kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin menjadi faktor penghalang untuk Presiden UMNO itu melangkah ke depan mengetuai penjajaran baharu parti politik atau sebagai calon Perdana Menteri.

Apatah lagi, dalam konteks UMNO kini yang hanya mempunyai 13 hingga 14 kerusi, tidak termasuk Ahli Parlimen yang nekad bersama Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Ahmad Zahid tiada pilihan lain selain membentuk kerjasama dengan parti pembangkang atau membuat jajaran baharu bersama PN, kata penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

“Penjajaran dengan Pakatan Harapan (PH) misalnya mungkin sukar kerana janji beliau kepada UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

“Namun, ada ura-ura untuk mencari sokongan dengan sebahagian dari PH iaitu DAP dan Amanah dan parti-parti lain seperti parti Tun Mahathir.

“Dengan DAP mungkin sukar kerana akar umbi UMNO akan menolaknya mentah-mentah. Mungkin kerjasama dengan Tun M dan parti Amanah boleh menjadi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa pertuduhan mahkamah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi tembok penghalang untuk beliau mengetuai penjajaran parti-parti politik itu, apatah lagi dicalon menjadi Perdana Menteri.

“Pandangan saya, Ahmad Zahid mempunyai cita-cita besar untuk dilantik sebagai PM.

“Tetapi, saya pasti parti-parti politik lain yang mahu beliau ‘pancing’ akan berfikir dua kali sebelum bekerjasama dengan UMNO dan Ahmad Zahid,” katanya.

Dr Nik Ahmad Kamal turut melihat satu lagi perspektif berbeza iaitu Ahmad Zahid membentuk kerjasama dengan PN sebelum undi tidak percaya pada September ini, namun bersyaratkan beliau mengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Isunya masih sama iaitu kes-kes beliau di mahkamah akan dijadikan alasan untuk menolak apa jua bentuk kerjasama.

“Saya melihat percaturan yang ingin Ahmad Zahid aturkan sukar bagi beliau dan juga bakal rakan kongsi kerana isu mahkamah yang dihadapi ketika ini.

“Sebarang kompromi kepada kes-kes tersebut menampakkan wujud konspirasi yang bertentangan dengan kedaulatan undang-undang dan akan menaikkan kemarahan rakyat,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid dijangka menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Muhyiddin gagal memperoleh sokongan majoriti di Parlimen atau membuat keputusan meletak jawatan.

Walaupun UMNO tidak memiliki jumlah sokongan yang mencukupi, Ahmad Zahid didakwa akan memujuk Ahli-Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyokong beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button