Berita Utama

45 kluster baharu termasuk 30 tempat kerja

Selangor catat kluster tempat kerja paling tinggi iaitu 9 diikuti Johor 6

KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1443H, Khamis – Sebanyak 45 kluster baharu COVID-19 dicatatkan hari ini dengan 30 daripadanya merupakan kluster tempat kerja, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sejumlah 11 kluster lagi merupakan kluster komuniti dan masing-masing dua kluster berisiko tinggi serta kluster pendidikan tinggi.

“Selangor mencatatkan kluster tempat kerja paling tinggi iaitu sembilan diikuti Johor (enam), masing-masing empat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur diikuti Kelantan (tiga), Sarawak (dua) manakala Terengganu dan Pahang masing-masing melaporkan satu kluster tempat kerja,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kluster komuniti, jumlah tertinggi dicatatkan di Kelantan iaitu tiga, masing-masing dua di Pahang dan Sarawak serta masing-masing satu di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

Katanya, sebanyak 318 kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 93 kes kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) iaitu jumlah BID tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik ini melanda negara.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif hari ini ialah 237,021 dan kes yang dirawat di unit rawatan rapi ketika ini ialah 1,059 orang dengan 543 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kes sembuh hari ini pula ialah 17,687 orang menjadikan jumlah kumulatif pulih mencecah 1.09 juta.

Dr Noor Hisham juga berkata daripada 21,668 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 440 atau 2.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata sebanyak 21,228 kes atau 97.9 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes atau 12.6 peratus daripada kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button