Dunia

Bangladesh-China kerjasama hasilkan vaksin COVID-19

Rancang pengeluaran segera hanya ambil masa beberapa minggu

DHAKA, 3 Muharram 1443H, Khamis – Bangladesh bakal bekerjasama dengan China untuk menghasilkan vaksin COVID-19 melalui pengeluaran segera yang hanya memerlukan masa beberapa minggu. 

Menteri Luar Negeri Bangladesh, AK Abdul Momen berkata, negara itu merancang menandatangani kerjasama berkenaan susulan lonjakan kes jangkitan yang membimbangkan akibat varian Delta. 

Sebelum ini, wakil Kedutaan Besar China, Haulong Yan memaklumkan bahawa pengeluaran bersama vaksin di Bangladesh akan bermula tidak lama lagi. 

“Kita akan segera ke Bangladesh untuk menghasilkan vaksin bersama,” kata Yan tanpa menyatakan jelas maklumat itu.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan Bangladesh turut mengesahkan bahawa 1.77 juta dos vaksin Sinopharm China telah tiba di Dhaka. 

Negara itu membeli sejumlah 60 juta dos vaksin Sinopharm untuk meningkatkan usaha vaksinasi di seluruh negara yang sedang giat dijalankan. 

Bangladesh memerlukan sekitar 276 juta dos vaksin untuk mencapai sasaran kerajaan memberikan imunisasi menyeluruh kepada lebih 138 juta penduduknya. 

Sehingga kini, negara itu sudah memberikan suntikan vaksin sepenuhnya kepada lima juta orang, sementara 15 juta lagi selesai sekurang-kurangnya dos pertama.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button