Berita Utama

Jumlah jawatan sektor ekonomi turun 0.4 peratus suku kedua 2021

Permintaan buruh masih kekal dengan trend menurun

KUALA LUMPUR, 3 Muharram 1443H, Khamis – Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi berkurang 0.4 peratus kepada 8.35 juta pada suku kedua 2021, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berbanding suku tahun sebelumnya, jumlah jawatan terus menurun sebanyak 0.9 peratus (suku pertama 2021: -0.4 peratus) yang menunjukkan momentum pemulihan yang tidak menentu dalam permintaan buruh berikutan impak krisis kesihatan yang berpanjangan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

“Berikutan peningkatan kes harian baharu COVID-19 pada suku ini, langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat telah dilaksanakan mulai pertengahan Mei yang mengehadkan waktu operasi perniagaan dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

“Ini seterusnya digambarkan oleh penurunan sebanyak 0.5 peratus jawatan diisi yang merekodkan 8.17 juta jawatan pada suku kedua 2021 (suku kedua 2020: 8.21 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, pada suku tahun ini, bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi adalah 178,000, meningkat 5.0 peratus disebabkan asas bilangan rendah yang direkodkan pada suku kedua 2020 (169,500).

Bilangan kekosongan jawatan juga kekal lebih rendah daripada purata 200,000 kekosongan jawatan yang direkodkan dalam tempoh sebelum krisis. Kedua-dua kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan masing-masing kekal pada 97.9 dan 2.1 peratus.

Mengulas selanjutnya, mengenai kedudukan jawatan yang diisi pada suku kedua 2021, beliau berkata, hampir semua sektor merekodkan trend menurun kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan peningkatan 0.9 peratus (suku pertama 2021: -0.1 peratus) dengan mencatatkan 2.16 juta jawatan.

Dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, lebih separuh daripadanya adalah kategori separuh mahir dengan peratus sumbangan 62.4 peratus (5.1 juta), manakala kategori mahir merangkumi 24.7 peratus (2.0 juta).

“Secara umumnya, permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku ini masih kekal dengan trend menurun berikutan operasi perniagaan yang belum pulih sepenuhnya selaras situasi semasa krisis kesihatan awam.

“Bagaimanapun, pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan akan membantu meringankan bebanan perniagaan dan seterusnya mengekalkan guna tenaga dalam ekonomi.

“Selain itu, perkembangan positif kadar vaksinasi seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara akan membolehkan perniagaan memperoleh impak lebih memberangsangkan dan seterusnya meningkatkan momentum pemulihan permintaan buruh di Malaysia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button