Berita UtamaDunia

Taliban nafi diskriminasi, dakwa ada cara sendiri selesai isu pendidikan

Kemerdekaan bukan sekadar kalahkan orang kafir, tetap perlukan ilmuan

KABUL, 19 Jamadilakhir 1444H, Khamis – Taliban menegaskan pihaknya tidak menentang pendidikan dan tetap komited menjaga hak semua rakyat.

Menteri Pendidikan Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem ketika melawat Universiti Kabul berkata, kerajaan sedang berusaha memperkasakan sistem pendidikan kerana yakin kebebasan yang diperoleh bukan sahaja di medan perang semata-mata.

“ Tidak tepat sekiranya menyatakan Taliban tidak komited dalam menjaga hak rakyat Afghanistan atau kami menolak pendidikan.

“Tidak benar juga menyatakan negara Islam ini mahu melemahkan bidang keilmuan hakikatnya negara ini bebas dan merdeka tetapi kami memiliki jalan sendiri untuk menentukan.

“Kemerdekaan tidak akan dicapai hanya sekadar mengalahkan orang kafir semata-mata dan menghalau mereka, kami juga memerlukan doktor, jurutera dan juga juruterbang kerana terdapat keperluan berbeza dalam masyarakat,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi itu yang kini sedang menilai kurikulum di pelbagai jabatan akan menjalankan kerjasama dengan Universiti Kabul dan beberapa universiti lain bagi mengurangkan jurang pendidikan di negaranya.

Bagaimanapun pakar pendidikan menegaskan keperluan buat masa ini adalah membuka semula sekolah dan universiti kepada pelajar perempuan, sebelum melaksanakan pelbagai peraturan baharu termasuk menjalankan kerjasama dengan pihak-pihak lain.

Malah bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Asif Nang berkata, keputusan yang diambil oleh Taliban bukan sahaja mendapat tentangan pihak lain tetapi juga kecaman daripada kumpulan Taliban sendiri yang menyifatkan keputusan yang dibuat tidak bermanfaat.

Sebelum ini Taliban mendapat kecaman masyarakat antarabangsa apabila menutup sesi persekolahan kepada pelajar-pelajar perempuan di negara berkenaan sebelum melarang mahasiswa perempuan ke universiti . – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button