Krisis ekonomi Lubnan makin kritikal, Bank Pusat tak mampu beli bahan api
Jika subsidi bahan bakar dihentikan, automatik harga akan diliberalisasi

BEIRUT, 3 Muharram 1443H, Khamis – Krisis ekonomi di Lubnan semakin kritikal apabila Bank Pusat mengesahkan tidak lagi mampu untuk menyokong pembelian bahan api, menurut Menteri Tenaga, Raymond Ghajar.
Perkara itu dimaklumkan Ghajar dalam sidang media mesyuarat Majlis Pertahanan Tinggi diketuai Presiden Lubnan, Michel Aoun di Istana Presiden.
“Hari ini, keperluan kita untuk bekalan tenaga elektrik berada di puncaknya. Keperluan kita adalah 3,000 Megawatt dan kapasiti pengeluaran sekarang, berdasarkan bahan bakar yang diperuntukkan untuk (elektrik) tidak melebihi 750 Megawatt,” katanya.
Kekurangan mata wang asing dan penurunan nilai mata wang telah menyebabkan rizab dolar bank pusat merosot daripada purata AS$38 bilion pada akhir tahun 2019 kepada AS$16 bilion.
Anggaran rasmi menjadikan kos program subsidi Lubnan bagi bahan asas sekitar AS$6 bilion setiap tahun, di mana separuh daripadanya digunakan untuk mensubsidi bahan bakar.
Ghajar percaya penyelesaiannya adalah dengan mencadangkan undang-undang di Dewan Perwakilan bagi meminta pencairan kredit untuk membeli bahan bakar yang ditentukan stesen jana kuasa – yang didakwa solusi terbaik untuk rakyat.
Katanya, jika subsidi bahan bakar dihentikan, harga akan diliberalisasikan dan disatukan pada semua segmen.
Sejak beberapa bulan terakhir, Lubnan yang berdepan masalah dana mengalami kekurangan bahan bakar yang serius ekoran faktor pertukaran wang asing yang mempengaruhi import, sehingga menyebabkan elektrik di negara itu kerap terpadam.
Kajian Save The Children sebelum ini memaklumkan, disebabkan krisis yang semakin teruk, kebanyakan keluarga di Lubnan memilih untuk mengurangkan perbelanjaan makanan, pendidikan dan perubatan, malah ada yang terpaksa menjual perabot atau menanggung hutang.
Kumpulan itu berkata, sekitar 47 peratus mereka tidak mampu membeli barang keperluan seperti minyak masak, lampin pakai buang dan bahan bakar- Agensi