Berita Utama

Operasi potong elektrik premis judi ikut undang-undang

Ada yang guna khidmat ADUN untuk telefon polis bagi dapat penjelasan

JOHOR BAHRU, 3 Muharram 1443H, Khamis – Polis mempunyai kuasa untuk melakukan operasi pemotongan elektrik melibatkan premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perjudian di negeri ini dan ia dilakukan mengikut undang-undang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi pemotongan bekalan elektrik ke atas premis yang terlibat aktiviti perjudian dilakukan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Beliau berkata, terdapat pemilik premis membuat aduan dan menggunakan perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meminta penjelasan kepada pihak polis berhubung perkara itu.

“Memang ada aduan daripada pemilik-pemilik premis dan ada juga yang menggunakan khidmat ADUN untuk menelefon pihak kami (polis) bagi mendapatkan penjelasan mengapa premis mereka dipotong bekalan elektrik.

“Dalam operasi-operasi (di premis) sama ada melibatkan kedai tambah nilai kad prabayar telefon bimbit dan kedai runcit yang terlibat aktiviti judi, kita memang ada kuasa dan polis boleh mohon kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong elektrik premis terlibat yang menjalankan aktiviti perjudian. Jadi, kalau mahu berniaga, sila berniaga betul-betul dan jangan di luar merupakan kedai tambah nilai dan kedai runcit tetapi di dalam menyediakan tempat untuk berjudi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ayob Khan berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya menerima aduan daripada pemilik premis berhubung pemotongan bekalan elektrik bagi operasi perjudian.

Baru-baru ini, beliau memberitahu seramai 549 penjaga premis dan 156 pemain judi ditahan dalam 525 serbuan yang dilakukan pihaknya sejak 1 Januari hingga 31 Julai lepas, manakala 74 daripada 244 permohonan yang dikemukakan kepada TNB bagi pemotongan bekalan elektrik telah diluluskan pihak itu, dalam tempoh sama.

Sehubungan itu, beliau berkata operasi bagi membanteras aktiviti judi dilakukan berterusan pihaknya sekali gus memberi amaran kepada pemilik premis supaya tidak melakukan aktiviti seumpama itu sekiranya tidak mahu bekalan elektrik dipotong atau lesen dibatalkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button