Berita Utama

Pelajar mesti divaksin sebelum buka sekolah

Pemberian vaksin penting untuk mengelakkan kluster sekolah

SEREMBAN, 3 Muharram 1443H, Khamis – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa pelajar diberi vaksin COVID-19 sebelum mereka kembali ke sekolah pada 1 September ini. 

Desakan itu susulan bimbang dengan kemunculan varian yang lebih ganas seperti Delta dan Lambda.

“Saya menyokong sekolah dibuka semula pada 1 September, tetapi pelajar mesti diberi vaksinasi terlebih dahulu.

“Saya yakin ia boleh dilakukan kerana saya diberitahu, hanya mereka yang berada di Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dan yang akan menduduki peperiksaan akan kembali untuk sesi pembelajaran secara bersemuka terlebih dahulu,” katanya.

Di Negeri Sembilan, kira-kira 30,000 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di negeri ini, dan seharusnya tidak menjadi masalah untuk memvaksinasi mereka sebelum sekolah dibuka semula, katanya. 

Aminuddin berkata, pemberian vaksin kepada pelajar penting untuk mengelakkan kluster sekolah.

“Pihak berkuasa mungkin kata ia mungkin tidak berlaku, tetapi kerajaan Negeri Sembilan berharap ini dapat dielakkan sama sekali,” katanya.

Pada 17 Julai, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September

Namun, keputusan ini boleh berubah, bergantung pada penilaian risiko terbaru oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Kementerian mengatakan akan mengumumkan lebih banyak perincian mengenai pembukaan semula sekolah untuk pembelajaran bersemuka sekurang-kurangnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin juga mengatakan bahawa semua kakitangan sekolah akan diberi vaksin pada waktu sekolah dibuka semula.

Ini untuk memastikan persekitaran sekolah selamat ketika dibuka semula.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button