Berita Utama

Sultan Ibrahim zahir penghargaan kepada ‘frontliners’ cekal perangi COVID-19

Semoga wabak segera hilang agar seluruh rakyat nikmati kehidupan sempurna

ISKANDAR PUTERI, 3 Muharram 1443H, Khamis – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan kerana cekal berkhidmat dalam memerangi COVID-19.

Bertitah pada perasmian pembukaan penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Pusat kerana telah memberikan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri Johor.

“Penghargaan juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan, sama ada bantuan makanan, kewangan dan sebagainya, bagi membantu rakyat yang terjejas.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga wabak ini segera hilang agar seluruh rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna, sentosa dan bahagia,” titah baginda di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah persidangan dewan penggal ini adalah tahun kedua kesemua ahli dewan berhimpun dalam keadaan yang diselubungi ancaman wabak virus COVID-19 dengan Johor masih mencatatkan bilangan kes dan kematian harian yang sangat tinggi dan lebih teruk berbanding tahun lepas.

“Keadaan ini amat membimbangkan saya. Tambahan pula telah ada varian COVID-19 baharu yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa pesakit.

“Oleh itu, semua rakyat dinasihatkan agar lebih berhati-hati, kurangkan pergerakan keluar rumah dan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh kerajaan,” titah baginda.

Sultan Johor juga mengingatkan agar persidangan dewan kali ini dibuat dengan berhati-hati dengan memastikan semua yang hadir mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan penilaian risiko kesihatan hendaklah dibuat setiap hari.

“Jika ada ancaman risiko yang tinggi, saya minta tuan speaker tangguhkan sidang dewan ini,” titah baginda. 

Selain isu pengurusan COVID-19 dibahaskan pada sidang dewan, Sultan Ibrahim juga mahu kerajaan negeri membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif menarik dalam usaha membangunkan semula ekonomi Johor selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Sultan Ibrahim juga berharap agar kerajaan pusat memberikan perhatian dan membantu pembangunan negeri Johor dengan lebih banyak lagi, terutama dalam bidang kesihatan dan infrastruktur jalan raya.

Persidangan DUN ditangguhkan kepada 22 Ogos bagi penilaian risiko COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button