Berita Utama

Penyertaan inisiatif COVAX dibangkit Dewan Rakyat hari ini

Selain turut ditanya keberhasilan pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Penyertaan Malaysia dalam COVAX, satu inisiatif antarabangsa yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu itu terkandung dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, yang akan diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, berkenaan kos penyertaan dan peranan yang perlu dimainkan oleh negara.

Selain itu, Natrah Ismail (PH-Sekijang) dalam sesi soal jawab lisan bertanya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai keberhasilan Projek Demonstrasi 5G yang telah dijalankan, serta kesediaan kementerian dalam memperluas rangkaian 5G ke seluruh negara.

Usai sesi itu, perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021, akan diteruskan untuk hari yang kelapan.

Sidang Dewan akan berlangsung selama empat jam sehari iaitu mulai 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – yang dibenarkan berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Peraturan itu diperkenalkan sebagai langkah berjaga-jaga, berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button