Berita Utama

Tapak berkurangan, MAIPk buat kajian tanah kubur untuk dikitar semula

Jangka kajian awal akan siap dalam enam bulan untuk dikemukakan

IPOH, 3 Muharram 1443H, Khamis – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan membentangkan hasil kajian berhubung dasar dan program penggunaan serta pengurusan tanah perkuburan Islam berkonsepkan kitar semula kepada kerajaan negeri dalam tempoh enam bulan.

Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, kajian rintis telah dimulakan di Tapak Perkuburan Islam Gurap di sini bagi menilai peratus penggunaan semasa tanah perkuburan itu, keluasan keseluruhan, angka dan nisbah kematian, pertambahan penduduk dalam kawasan kariah itu serta perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Kita jangka kajian awal akan siap dalam enam bulan untuk dikemukakan supaya kerajaan negeri tidak perlu mencari dan membuka tanah baharu sebab unjuran kita di tanah perkuburan di Meru pun akan sampai pada 2040.

“Jadi kita akan selaraskan cara pengurusan kubur yang sekarang ini ia dijalankan secara persendirian,” katanya dalam sidang media sempena persidangan MAIPk Ke-218 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurutnya, dasar itu perlu diperkenalkan bagi penggunaan dan pengurusan tanah perkuburan Islam yang lebih produktif lagi ekonomik dengan mengoptimumkan penggunaan tanah di Perak.

“Majlis menyedari bahawa tanah semakin hari semakin berkurangan dan adalah sumber ekonomi yang semakin pupus, maka penggunaan tanah hendaklah diutamakan untuk memenuhi keperluan kehidupan harian.

“Sudah sampai masanya untuk memperkenal dan mendidik masyarakat akan program berkonsepkan mengitar semula tanah kubur yang lama dan terbiar seperti dilaksanakan di tempat-tempat lain,” katanya.

Mohd Annuar berkata, pihaknya berpuas hati dengan kajian awal terbabit setakat ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh 969 tapak perkuburan Islam di Perak yang berkeluasan 1,454 hektar.

Katanya susulan itu, Jabatan Agama Islam Perak perlu menubuhkan unit pengurusan kubur Islam di Perak untuk memberi garis panduan dan cara susunan baharu termasuklah tidak membenarkan binaan secara kekal supaya tiada masalah ketika melakukan proses kitaran semula.

Sementara itu, beliau memaklumkan kutipan zakat di Perak hingga 30 Jun lepas mencatatkan jumlah RM79.07 juta iaitu menurun sebanyak 23.60 peratus atau RM24.42 juta berbanding tempoh sama pada 2020 yang mencatatkan kutipan sebanyak RM103.48 juta.

“Kutipan wakaf tunai di bawah Wakaf Perak Ar-Ridzuan sehingga tempoh sama pula mencatatkan peningkatan sebanyak 17.25 peratus atau RM301,497.06 iaitu pungutan berjumlah RM2.048 juta berbanding RM1.747 juta pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pengurangan kutipan zakat dijangkakan berlaku berikutan jangkaan penyusutan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19 manakala peningkatan kutipan wakaf tunai dicapai hasil inisiatif mempelbagaikan medium pembayaran.

Selain itu, Mohd Annuar berkata persidangan hari ini turut melantik 19 belia untuk menganggotai Jawatankuasa Baitulmal Pertengahan dan Jawatankuasa Baitulmal Daerah sebagai menjunjung titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk melibatkan lebih ramai belia akan tanggungjawab kepimpinan dalam aktiviti MAIPk.

Beliau berkata pelantikan anggota-anggota belia terbabit dipercayai dapat memberikan dimensi baharu dan ruang yang luas bagi para belia menyuarakan pandangan serta mencetuskan idea tentang agihan-agihan zakat dan program-program berkaitan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button