Berita Utama

BERJASA nasihatkan calon-calon PRN henti burukkan satu sama lain

Masa kempen kemukakan matlamat parti, dasar tangani masalah rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Muharram 1445H, Rabu – BERJASA mengingatkan semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menghentikan amalan berkempen politik menghina dan memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Presidennya, Haji Zamani Ibrahim berkata, amalan berpolitik sedemikian tidak layak untuk ditonjolkan pemimpin sebuah parti masyarakat yang membawa agenda negara.

Justeru, beliau menyarankan calon PRN kali ini bersikap matang dengan mengemukakan matlamat parti untuk memajukan negeri dan dasar dalam menangani serta menyelesaikan isu rakyat.

“Ini yang saya sarankan pada mana-mana calon yang jumpa sepanjang kempen dua minggu ini,” katanya dalam video dimuatnaik di Facebook, hari ini. 

Mengulas mengenai pembabitan dalam PRN, beliau sekali lagi menjelaskan sebab BERJASA tidak menghantar calon kerana mengambil pendekatan pilihan raya kali ini hanya dua penjuru sahaja.

Ustaz Zamani turut mengulangi gesaannya terhadap pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab dan memilih calon terbaik pada hari pengundian di enam negeri, Sabtu ini.

“BERJASA mengharapkan supaya pengundi keluar beramai-ramai dan pilihlah calon yang terbaik, boleh menjaga hak agama, hak bangsa dan bukannya calon yang sekadar bercakap tetapi tidak mampu membawa negeri jauh ke hadapan.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, keluar beramai-ramai tunaikan kewajiban kalian untuk mengundi. Inilah kuasa yang perlu kita tunjukkan dalam PRN kali ini,” katanya.

27 Julai lalu, BERJASA melancarkan kempen ‘Melayu Turun Undi’ bagi menggalakkan orang Melayu keluar mengundi pada pilihan raya dan menunjukkan kesatuan dalam mengangkat pemimpin berwibawa.

Menerusi kempen itu juga, BERJASA akan mengerahkan seluruh ahli parti dan sukarelawan untuk memantau proses demokrasi dalam PRN 2023 dan memastikan semua pihak mengikut peraturan-peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button