Berita Utama

COVID-19 tular di tempat kerja punca lonjakan kes di Sabah

Jumlah kumulatif kes di Sabah kini adalah 100,031

KOTA KINABALU, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Penularan virus COVID-19 di sebuah pelantar minyak dan tapak binaan Hyatt Centric di sini dalam kalangan warga tempatan, Filipina dan China antara punca lonjakan kes di Sabah sehingga mencecah 2,052 kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kes positif itu melibatkan 209 pekerja di pelantar minyak dan 109 pekerja tapak binaan yang antaranya menjadikan jumlah kes baharu bagi daerah Kota Kinabalu amat tinggi iaitu sebanyak 635 kes.

“Daerah lain juga mengalami penambahan kes baharu yang tinggi antaranya Tuaran (126 kes), Tawau (178), Beaufort (86), Kota Belud (84), Lahad Datu (50), Ranau (44), Telupid (77), Sipitang (46) dan Tongod (21),” katanya dalam kenyataan.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata dengan kes itu,  jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah kini adalah 100,031.

Beliau berkata terdapat satu kluster direkodkan iaitu Kluster Batu Linting, Kuala Penyu melibatkan penularan COVID-19 dalam komuniti.

Katanya, kes indeks disyaki berpunca daripada majlis keagamaan pada 31 Julai lepas melibatkan seorang wanita berumur 34 tahun dikesan positif selepas melakukan ujian RTK Antigen.

Masidi berkata daripada 45 sampel yang diambil, terdapat 29 kes positif termasuk lapan kes baharu yang dikesan di Kampung Bukit Linting, Kampung Mansud, Kampung Bundu dan Kampung Kupang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button