Berita Utama

Henti rumus angka, sabar hingga sidang Dewan Rakyat September ini

'Perbuatan ini jika benar berlaku, amatlah salah dan mengelirukan': Annuar Musa

BANGI, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Sebarang angka yang dirumuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tanpa proses undian di Parlimen, adalah bersifat andaian, spekulatif, tidak konklusif dan boleh dicabar.

Ini kerana, setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan untuk melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka apabila sidang Dewan Rakyat diadakan.

Apatah lagi, isu undi percaya terhadap Perdana Menteri adalah satu proses penting yang tidak boleh diandaikan atau dispekulasikan sehingga perkara itu benar berlaku di Dewan Rakyat.

Demikian jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hari ini susulan terdapat dakwaan Yang Dipertua Dewan Rakyat memberi atau melaporkan angka kedudukan sokongan terhadap Perdana Menteri kepada pihak tertentu.

“Perbuatan ini jika benar berlaku, amatlah salah dan mengelirukan. Pertama, YDP Dewan hendaklah bertanggungjawab mengikut kuasanya seperti dalam Perlembagaan.

“Bukan semua pihak boleh mengarahkan YDP Dewan melakukan sesuatu di luar peraturan. Kedua, jumlah sokongan adalah hak Ahli Parlimen untuk ditentukan melalui prosedur tertentu, dan ia perlu ditentukan dalam sidang,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dalam undian spesifik itu, tidak mustahil Perdana Menteri tidak mendapat sepenuhnya undi daripada blok kerajaan dan mungkin boleh juga mendapat undi daripada pembangkang.

“Tidak harus dilupakan kemungkinan berlaku ketidakhadiran atau hadir tetapi tidak mengundi.

“Justeru, oleh kerana YAB PM telah menetapkan untuk kemukakan usul percaya dalam sidang biasa yang telah pun dijadualkan, maka semua pihak harus bersabar, dan menerima proses tersebut yang amat menepati Perlembagaan serta tepat dari segi konvensyen demokrasi berparlimen,” katanya.

Katanya, sebarang usaha yang dilihat bersifat manipulatif, tidak berperlembagaan, cubaan memaksa atau prejudis akan mengundang krisis dan pertikaian, selain mungkin menimbulkan fitnah.

Atas sebab itu, semua pihak harus berhati-hati dalam semua tindakan demi mengelak berlakunya krisis kepercayaan terhadap ketelusan proses bagaimana sesuatu isu besar dirungkai dan diselesaikan, katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mendedahkan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya dijadualkan untuk dikemukakan dalam Dewan Rakyat pada 7 September ini.

Sidang Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 akan diadakan selama 15 hari bermula 6 September ini hingga 30 September.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button