Kerajaan sedia 7 cadangan rentas parti jika usul undi percaya diluluskan
PM jemput pimpinan parti luar PN berbincang mengenai cadangan itu

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Kerajaan mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Muhyiddin berkata pihaknya akan menjemput semua pimpinan parti politik dari luar Perikatan Nasional (PN) untuk berbincang mengenai cadangan itu minggu depan dan beliau sedia mendengar pandangan semua pemimpin politik.
Beliau menjelaskan menerusi cadangan itu, semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara tanpa mengira parti politik akan diberi peruntukan RM300,000 bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.
“Atas semangat kerjasama bipartisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
“Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki,” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan petang ini. – Bernama