Berita Utama

Kerajaan sedia wujudkan kerjasama bipartisan dengan pembangkang

Bagi pastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk mewujudkan kerjasama bipartisan bagi kestabilan negara dan memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata rundingan kedua-dua pihak itu termasuk mengenai meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sekiranya cadangan kerjasama bipartisan itu dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat, katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan petang ini.

“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat,” katanya dan menambah bahawa kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya itu diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

“Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button