Berita Utama

MATRADE galak perdagangan halal secara digital di MIHAS 2021

Bawa pembeli, pelabur, rakan dagang di bawah satu platform maya

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Perdagangan yang dilaksanakan secara digital merupakan hala tuju ke hadapan dan faktor penting untuk membina semula daya tahan ekonomi Malaysia, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Oleh itu, MATRADE menyasarkan untuk memudahkan perdagangan halal rentas sempadan dan bernilai tinggi secara digital di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang akan datang dijadualkan dari 9 September hingga 31 Disember, 2021.

Acara itu yang bertemakan “Empowering Halal, Tomorrow, Together” akan memberi tumpuan untuk memaparkan 12 tonggak utama, termasuk pendidikan, farmasi, perkhidmatan dan pengupaya, francais, fesyen, kewangan Islam, kosmetik dan penjagaan diri, media dan rekreasi, pelancongan mesra Muslim, e-dagang dan teknologi makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata berdasarkan situasi pandemik semasa, MIHAS akan menerajui agenda pendigitalan untuk industri halal dengan membawa pembeli, pelabur dan rakan dagang di bawah satu platform secara maya.

“Kami berharap dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global dengan satu lagi acara berjaya pada tahun ini dalam persekitaran yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIHAS 2021 telah bermula dengan sesi pratonton mingguan pada setiap Rabu dari 11 Ogos hingga 1 Sept, 2021, untuk memberikan gambaran ringkas kepada penonton mengenai hubungan halal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), eksport, penggunaan teknologi dan kemampanan.

Selain itu, Hab Pengetahuan MIHAS 2021 secara maya akan diteruskan dari 10 hingga 12 Sept, bermula dengan sesi untuk pengeksport Malaysia berinteraksi dengan Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE dari pasaran seperti Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Afrika Barat, Asia Tengah dan Eropah untuk meninjau peluang eksport halal yang berpotensi.

MIHAS turut mengimbangi gangguan daripada pandemik dengan membolehkan peserta pameran, pengunjung dan peserta mendapat kebebasan kepada rangkaian dengan sesi padanan perniagaan yang dibantu oleh Kecerdasan Buatan (AI), berhubung merentasi zon masa dengan sembang langsung 24 jam sehari, melihat pameran produk dan perkhidmatan serta menyertai webinar di negara mereka.

Acara itu telah menarik syarikat gergasi industri, termasuk penaja MIHAS Diamond CIMB Islamic Malaysia dan rakan kerjasama Standard Chartered Saadiq, yang akan menerajui perbincangan mengenai membina ekonomi Islam dan rantaian bekalan yang mampan.

Sejak ditubuhkan pada 2004, MIHAS telah dilihat sebagai platform sumber halal yang penting, dengan lebih 1,000 peserta pameran dari 44 buah negara menyertai edisi terakhir pada 2019. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button