Berita Utama

Keputusan SPM 2022 8 Jun

Calon persendirian boleh buat semakan secara dalam talian

BANGI, 9 Zulkaedah 1444H, Isnin – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 akan diumumkan pada 8 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, calon boleh memperoleh keputusan peperiksaan mereka daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada hari sama.

Katanya, bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Di samping itu, calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan.

KPM berkata, perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 8 Jun ini sehingga jam 6 petang pada 14 Jun.

Selain itu, semakan boleh dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

“KPM mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon SPM tahun 2022,” katanya.

Pada tahun lalu, seramai 403,637 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022 di 3,355 buah pusat peperiksaan di seluruh negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button