Berita Utama

Mohon Agong beri pengampunan diraja kepada Najib: PSUAM

Syor lantik sebagai PM Interim selamatkan negara

BANGI, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) memohon kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar memberikan pengampunan diraja kepada Datuk Seri Najib Razak – yang berdepan pertuduhan di mahkamah.

Pengerusinya, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, pengampunan berkenaan penting bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu kembali mentadbir negara.

Katanya, pelantikan Ahli Parlimen Pekan itu menepati kriteria sebagai Perdana Menteri Interim untuk menyelamatkan negara dari kemelut politik dan pandemik ketika ini.

“Saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia ingin Najib kembali mentadbir negara. Dengan itu saya memohon mungkin di mata Seri Paduka Baginda jika ada kekhilafan yang berlaku ke atas Najib, saya memohon ia dapat dimaafkan.

“Dan kami memerlukan Perdana Menteri yang baharu sekarang. Jika Najib menjadi Perdana Menteri Interim, dan keputusan rayuan mahkamah memihak kepada Najib, akan ada suara-suara sumbang yang akan menyatakan Najib mencampuri urusan mahkamah, itu yang kita tidak mahu.

“Kami mahukan Najib mentadbir negara ini secara baik dan aman, tanpa ada ganggu gugat oleh sesiapa. Itulah yang dimaksudkan dengan pengampunan diraja,” katanya seperti dilapor portal media tempatan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan permohonan pengampunan diraja di Istana Negara hari ini.

Dalam pada itu, Imran berkata, meskipun ramai calon yang boleh dicadangkan sebagai Perdana Menteri Interim atau ‘caretaker’, namun Najib mempunyai dua kriteria penting dalam mentadbir negara.

“Pada pendapat saya, saya yakin jika Datuk Seri Najib kembali mentadbir, negara kita bukan sahaja bebas wabak COVID-19, tetapi ekonomi negara mencanak naik berdasarkan dua kriteria dimilikinya iaitu kepercayaan oleh Seri Paduka Baginda dan pengalaman beliau sebagai bekas Perdana Menteri dalam mentadbir negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button