Berita Utama

PM tak wajib letak jawatan meski tiada sokongan majoriti

Cara paling baik pastikan negara sentiasa ada Perdana Menteri: Pakar

BANGI, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Perdana Menteri tidak wajib meletak jawatan meskipun gagal memperoleh sokongan majoriti undi percaya di Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, tindakan peletakan jawatan bukanlah satu kemestian untuk seorang Perdana Menteri walaupun selepas didapati hilang kepercayaan Ahli Parlimen.

Beliau berkata, kaedah itu terpakai kerana Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri baharu tanpa perlu menunggu peletakan jawatan penyandang sedia ada.

“Jawatan Perdana Menteri sedia ada terbatal dengan terlantiknya Perdana Menteri baru iaitu seorang anggota Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli untuk menjawat jawatan itu.

“Cara ini paling baik untuk memastikan negara sentiasa ada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Fathi berkata, langkah tu juga dapat mengelakkan situasi ketidaktentuan dalam pemerintahan akibat ketiadaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

“Tambahan pula, dalam situasi wabak COVID-19 dan kesukaran mengadakan pilihan raya umum, ketidaktentuan pentadbiran perlu dielakkan,” katanya.

Mutakhir ini, situasi politik negara berada dalam keadaan tidak menentu selepas kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa hilang sokongan majoriti, selepas beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN).

Keadaan itu menyebabkan pelbagai pihak terutama daripada pembangkang mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu, satu usul undi percaya terhadap kepimpinan Muhyiddin dijangka dikemukakan dalam Dewan Rakyat pada 7 September ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button