Tolak politikus rakus, ‘warlord’ pada PRU15
Dewan Rakyat jadi sangkar beruk jika Ahli Parlimen tamak kuasa

BANGI, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Tidak mustahil sidang Dewan Rakyat akan terus menjadi ‘sangkar beruk’ sekiranya pemimpin ‘warlord’ serta tandus agenda watan kembali menjadi wakil rakyat.
Walhal hakikatnya, rakyat tidak memerlukan Ahli Parlimen yang rakus serta tidak ada kehalusan budi pekerti untuk menjadi wakil rakyat mereka.
Lantaran itu, Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA) mengajak rakyat untuk menyingkirkan mereka yang rakus kuasa dan ‘warlord’ ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim menggesa pada semua pihak supaya memilih calon dengan melihat kepada kehalusan budi pekerti dan kewibawaan individu bukan melihat kepada parti.
“Kalau tidak, jangan pilih muka mereka. Cara ini akan memaksa semua parti untuk mencalonkan muka baharu yang berwibawa pada setiap kali PRU.
“Sekiranya rakyat masih terikat kepada parti, maka rakyat tidak ada pilihan dan pemain politik rakus serta ‘warlord’ ini tetap diangkat semula kerana pimpinan parti tahu bahawa rakyat mengundi mengikut parti bukan peribadi.
“Selagi kita tidak berubah kepada memilih calon berdasarkan kehalusan dan kewibawaan peribadi, maka parti yang ada hari ini tidak akan berubah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, gelagat Ahli-ahli Parlimen ketika persidangan Parlimen baru-baru ini amat tepat dengan apa yang dititahkan oleh Sultan Johor sebagai ‘sangkar beruk’.
Katanya, walaupun titah baginda ditujukan khusus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu, namun seluruh Ahli Parlimen patut tersentap.
Ini berikutan rakyat juga melihat kemaruknya Ahli-ahli Parlimen yang tamakkan kuasa, bukan hanya semasa persidangan malah perangai itu terus berlaku di luar Parlimen.
“Titah Sultan Johor semalam disebabkan baginda bimbang dengan kerakusan pemain politik hari ini. Rakyat dan ekonomi negara tengah berlawan dengan COVID-19 yang makin ganas, ribuan rakyat tengah hilang mata pencarian, angka kematian masih tinggi, bilangan anak yatim makin naik mendadak.
“Tapi pemain politik semakin hari semakin rakus untuk merebut kuasa,” katanya.
Pada masa sama, Ustaz Zamani meluahkan rasa hairan dengan gelagat Ahli Parlimen ketika berbahas dalam dewan baru-baru ini.
“Saya tertanya-tanya, apakah memang perlu bertempik melolong dalam dewan Parlimen baru dianggap wakil rakyat yang mampu bersuara?
“Rakyat di bawahan tak berfikir macam itu, saya yakin rakyat pastinya kecewa dengan watak wakil rakyat yang dipilih hanya sekadar mampu bertempik melolong sahaja,” katanya.