Berita Utama

Vernakular: Hakim tolak permohonan 3 pertubuhan batal perenggan tuntutan plaintif

Perenggan hendaklah dikekal jadi rujukan ketika perbicaraan penuh

BANGI, 4 Muharram 1443H, Jumaat – Hakim Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan defendan dalam kes saman mencabar kewujudan sekolah vernakular Cina dan India, agar beberapa perenggan dalam penyata tuntutan plaintif dibatalkan.

Dalam perbicaraan interlokutori secara maya itu, Malaysian Chinese Language Council , Malaysian Tamil Neri Kalagam dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia cuba memohon kepada pembatalan tersebut.

Plaintif terdiri daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Naional (GAPENA). 

Perenggan-perenggan yang cuba dibatalkan itu adalah antara lainnya perenggan di mana plaintif merujuk kepada fakta-fakta berikut:

(a) dapatan dari kajian Profesor Dr Sharon Carstens dari PSU Institute for Asian Studies pada tahun 2014, yang mendapati bahawa rakyat Malaysia berbangsa Cina mempunyai perasaan kurang senang dan negatif terhadap penggunaan bahasa Melayu, walaupun mereka memperakui kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan;

(b) dapatan dari tahun 2015 yang diterbitkan The Malaysian Insider, mengenai sikap acuh-tak-acuh anak-anak muda berbangsa Cina di Malaysia, bertajuk “Local Chinese Youths Divided on Iportance of Speaking in BM in Malaysia”;

(c) kajian oleh mantan pengarah Kajian Khazanah Research Institute, Dr Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya The Colours of Inequality, yang memetik rekod dari Kementerian Pendidikan bahawa di antara tahun 2006 hingga 2010, kadar keciciran (drop-out rate) para pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina adalah tertinggi berbanding Sekolah Kebangsaan; 

(d) data dari parti MCA yang menganggarkan bahawa dari setiap 4 orang pelajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, seorang daripadanya akan keciciran (drop out) sebelum berusia 18 tahun, justeru menjadikan kadar kecicirannya sebagai 25%, iaitu kadar keciciran tertinggi berbanding Sekolah Kebangsaan;

(e) laporan mengenai sikap perkauman sempit dan rasis oleh ibu-bapa kepada anak-anak di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, yang membantah guru-guru berbangsa Melayu daripada mengajar subjek bahasa Mandarin kepada anak-anak berbangsa Cina (walaupun guru-guru itu mempunyai kelayakan dan kefasihan sepenuhnya dalam bahasa Mandarin, tetapi dibantah semata-mata kerana mereka berbangsa Melayu);

(f) laporan pada tahun 2016 di mana seorang guru berbangsa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nan Ya Telok Sengat yang telah memeluk Islam, dan memutuskan untuk menutup aurat dengan memakai tudung, tetapi pihak sekolah telah memberikantekanan dan ugutan bahawa jika beliau ingin terus mengajar di sekolah tersebut, maka beliau dikehendaki untuk menanggalkan tudung kepalanya.

Bagaimanapun, peguam Aidil Khalid berkata, setelah mendengar hujah daripada semua pihak yang memakan masa kira-kira dua jam, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah menolak permohonan berkenaan.

Jelas Aidil, hakim sebaliknya berpendapat bahawa perenggan-perenggan tersebut hendaklah dibenarkan kekal seperti sedia ada, untuk menjadi rujukan ketika perbicaraan penuh kelak.

“Ini adalah kemenangan kecil di hari Jumaat yang mulia ini, tetapi harus diingat bahawa perjuangan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan di negara ini masih panjang.

“Kemenangan ini cuma kemenangan dalam satu pertempuran kecil, sedangkan peperangannya masih sengit dan belum sampai ke penghujung yang sebenar,” katanya dalam status di Facebook.

Tiga pertubuhan memfailkan writ saman dan penyata tuntutan pada Disember 2019, untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

GPMS dan MAPPIM turut menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button