Berita Utama

Anwar akan terus guna petikan ayat al-Quran dalam ucapan

Rujuk Jakim terlebih dahulu elak sebarang kontroversi

PUTRAJAYA, 26 Jamadilakhir 1445H, Isnin – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus menggunakan petikan ayat al-Quran dan tafsiran dalam ucapannya, namun akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kontroversi.

Beliau berkata, petikan ayat al-Quran yang dilontarkan pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini mencetuskan kontroversi, bagaimanapun beliau bersyukur kerana insiden itu menimbulkan minat masyarakat terutama anak muda untuk membaca dan menelaah al-Quran secara lebih mendalam.

“Saya anggap penting bulan-bulan lain saya baca ayat al-Quran dan tafsir supaya menggalakkan perbahasan, tapi saya akan rujuk kepada Jakim terlebih dahulu supaya (dapat) mengelakkan kontroversi,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM di sini hari ini.

Pada perhimpunan bulanan JPM Disember tahun lepas, Anwar dilaporkan memetik kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi dalam surah al-Kahfi yang mengundang reaksi ramai serta dijadikan polemik politik.

Walaupun menyifatkan serangan terhadapnya keterlaluan susulan kontroversi itu, Anwar bagaimanapun berkata mana-mana pemimpin yang memberi ucapan sebaiknya harus mempunyai rujukan al-Quran.

Anwar turut menjelaskan beliau mengaitkan kisah berkenaan pada ketika itu bertujuan menyeru penjawat awam agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak ketika menjalankan tugas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button