Berita Utama

Amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu

Hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri pantai barat

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu hari ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, di Kelantan ia melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu daerah yang terlibat ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku terutamanya di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung iaitu Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

Turut mengalami keadaan cuaca itu ialah kawasan pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Selain itu, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh tersebut yang boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button