Berita Utama

Kemampuan Malaysia urus sumber nasional dibincang dalam ICRIS 2021

Persidangan anjuran IRIS Institute jadikan 'Kemandirian dan Kemampanan Sumber Nasional' sebagai tema

BANGI, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS) Institute buat julung kali menganjurkan Persidangan Antarabangsa dalam Kajian Rentas Disiplin dan Strategik (ICRIS 2021)

Persidangan yang berlangsung pada 12 Ogos lalu itu menjadikan ‘Kemandirian dan Kemampanan Sumber Nasional’ sebagai temanya.

Penasihat persidangan, Prof Madya Kapten (B) Dr Azmil Hashim berkata, usaha membincangkan kemampuan Malaysia dalam mengurus serta membangunkan sumber nasional perlu diutamakan bagi menghadapi ancaman global seperti pandemik COVID-19.

“Malaysia berpotensi untuk menjadi negara yang mandiri dan mampan dari sudut sumber nasionalnya serta mampu menghasilkan pelan pengurusan sumber yang mampu menandingi negara-negara maju lain.

“Ini adalah kerana, Malaysia memiliki sumber mineral yang sangat bernilai yang dapat digunakan untuk pembangunan industri di negara ini.

“Malah, Malaysia juga memegang pasaran global untuk pusat data dan berpotensi untuk menjadi hab data serantau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Prof Azmil menambah, pandemik COVID-19 menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia menyusut dan kadar pengangguran meningkat dengan mendadak.

“Justeru, selaras dengan fungsi IRIS Institute, berperanan sebagai pusat penyebaran keintelektualan merentas disiplin, maka penganjuran persidangan antarabangsa ini akan menjadi salah satu perkembangan interdisplinari diskusi ilmu di antara ilmuwan, ahli akademik, mahasiswa, mahasiswi dan masyarakat umum mengenai kemandirian dan kemampanan sumber nasional,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button