Berita Utama

Kestabilan politik ‘palsu’ benarkan proses ugut, tawar-menawar tak berkesudahan

Prinsip kerajaan dalam isu agama, kesihatan, ekonomi tidak jelas

BANGI, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Tidak dapat dinafikan kestabilan politik ‘palsu’ membenarkan proses mengugut dan tawar-menawar yang tidak sihat terus berpanjangan.

Hakikatnya, ia bukan lahir dari pemimpin yang mempunyai karisma atau pasukan berkebolehan, sebaliknya dalam bentuk membeli sokongan ahli politik.

Pengerusi Bersama Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mohkhtar menegaskan, kestabilan politik atas nama perlanggaran prinsip-prinsip penting itu tidak seharusnya berlaku.

Tegasnya, jika kestabilan politik dalam bentuk semalam berterusan, maka cadangan mengadakan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) lebih baik.

Ini kerana majlis itu akan dianggotai oleh bukan ahli politik yang tidak perlu memikirkan bilangan kerusi.

“MAGERAN sehingga kita stabil dari sudut kesihatan dan mengizinkan perpindahan kuasa politik melalui PRU15, bagi kita memilih kerajaan yang benar-benar meletakkan dasar negara kita dalam rangka yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik COVID-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Antara tawaran yang diberikan adalah semua Ahli Parlimen menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik dan bagi pembangkang, peruntukan tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.

Mengulas lanjut, Prof Rafidah berkata, ada banyak prinsip-prinsip yang tidak jelas daripada kerajaan hari ini khususnya melibatkan isu agama, kesihatan serta ekonomi negara.

“Tentang Islam, ekonomi dan kesihatan jika proses tawar-menawar ini terus berlaku. Apa yang akan terjadi lepas September? Proses tawar-menawar yang tidak membawa manfaat kepada rakyat?

“Kestabilan kesihatan dan COVID-19? Saya secara konsisten mengkehendaki kestabilan politik untuk tujuan ini, beberapa kali saya ditemu ramah saya nyatakan pendirian yang sama untuk tumpu kepada ‘exit plan’ supaya kes-kes COVID-19 menurun agar sekolah dan IPTA dibuka.

“Tetapi kestabilan kesihatan ini bukannya melalui apa yang berlaku semalam. Dan apa yang berlaku semalam juga tidak memberi nilai tambah dalam pengurusan COVID-19,” katanya.

Beliau turut menegaskan, dalam prinsp kestabilan agama, ia banyak diperjuangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan diteruskan oleh penjawat awam di lapisan pelaksana dasar.

Katanya, tanpa pembuat dasar yang tegas, pelaksana dasar akan sampai ke satu had di mana mereka tidak boleh pergi lebih jauh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button