Berita Utama

Malaysia mengalu-alukan sumbangan 1 juta dos vaksin daripada UAE

Sumbangan bantu pertingkat kadar vaksinasi harian

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Malaysia mengalu-alukan sumbangan satu juta vaksin COVID-19 oleh kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, sumbangan seumpama itu akan membantu negara dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 serta membantu mempertingkatkan kadar vaksinasi harian di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang juga Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin juga mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat UAE Sheikh Abdullah Zayed Al-Nahyan dan kepimpinan negara itu atas sumbangan segera dan bermurah hati itu.

Beliau berkata, sumbangan tersebut baru-baru ini digabungkan dengan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang lain menekankan kepada hubungan yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan UAE.

“Malaysia dan UAE kekal komited untuk mengukuhkan hubungan dua hala kami berdasarkan nilai dan tradisi bersama demi kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Hishamuddin berkata, ini bukan kali pertama UAE menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia selepas negara itu menyumbangan 20,000 unit kit ujian RT PCR pada Mac tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, UAE menyumbang 14,000 unit cecair sanitasi tangan melalui inisiatif Wisma Putra, Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES), untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 Wisma Putra di dalam negara serta di perwakilan Malaysia di luar negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button