Berita Utama

GRS takkan sertai mana-mana ‘langkah’

Mereka yang bercita-cita jadi Perdana Menteri perlu tunggu PRU

KOTA KINABALU, 29 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan sesekali menyertai mana-mana ‘langkah’ untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan semasa kerana ia akan membawa kepada kekacauan selain menjejaskan kestabilan negara.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata, ketika ini negara memilik Kerajaan MADANI yang berfungsi dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri itu.

“Jadi kenapa perlu mengucar-kacirkan keadaan? Kita bekerja demi kemakmuran negara dan rakyat, kami tidak menyokong sebarang langkah yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, mereka yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri perlu menunggu Pilihan Raya Umum untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Hajiji berkata, GRS turut memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan yakin dengan kepimpinan beliau.

“Biarkanlah beliau memimpin negara kita yang berbilang kaum ini ke arah kemakmuran,” katanya.

Justeru, beliau mempersoal motif dan niat pihak yang menganjurkan ‘Langkah Dubai’ sama ada mereka sekadar ingin memenuhi agenda politik semata-mata tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button