Berita Utama

Pandemik COVID-19 peringatan kepada kesihatan awam

Perubahan perlu dilakukan sekarang untuk elak bencana

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Pandemik COVID-19 merupakan satu peringatan kepada sistem kesihatan awam dan perubahan segera yang perlu dilakukan sekarang untuk mengelak bencana seperti pandemik ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata krisis COVID-19 menunjukkan perubahan berskala besar dan meluas boleh dilakukan apabila halangan tertentu diatasi menerusi inovasi dan penyelarasan bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Dalam jalan yang sama, perubahan serupa dalam dunia pasca pandemik perlu datang dalam bentuk penggalakan dan pencegahan berkesan yang berbaloi.

Dalam kata-kata lain, kita boleh dan perlu melakukan lebih untuk mencegah dan menguruskan dengan lebih baik isu kesihatan kita di dalam kehidupan sebelum kemusnahan yang tidak boleh dibaiki semula dan mengakibatkan kos yang tinggi berlaku,” kata beliau ketika menyampaikan ucapannya pada hari kedua Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham menggesa pengurusan sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik dengan menggandakan pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit dengan lebih berkesan, mempercepatkan penggunaan teknologi digital serta penyepaduan data dan ketiga, membina pendekatan berbilang sektor untuk menggalakkan pelaburan dan penyumberan semula di belakang inovasi.

Mengambil contoh penyakit kronik, malah sebelum kemunculan COVID-19 bebanan berat penyakit kronik di dalam negara terletak pada nisbah seorang daripada lima individidu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berusia 18 tahun dan ke atas di Malaysia, menderita akibat diabetes.

Beliau berkata apabila dikawal dengan baik, penyakit ini tidak akan menjadi bebanan berat, maka terdapat keperluan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat secara menyeluruh.

Beliau juga berkata penggunaan aplikasi digital telah dipertingkatkan semasa pandemik COVID-19 dengan pelbagai inisiatif menerusi antara agensi, kerjasama kementerian dan sokongan industri seperti aplikasi MySejahtera

Menjelaskan lanjut mengenai pembinaan pendekatan pelbagai sektor untuk menggalakkan pelaburan dan penyumberan semula di belakang inovasi, Dr Noor Hisham berkata peningkatan perkongsian adalah penting dan ia hanya boleh berlaku jika semua pihak di dalam sistem bekerjasama.

“Sebagai contoh kerjasama antara AstraZeneca dan University of Oxford untuk pembangunan global dan pengagihan vaksin adenovirus rekombinan yang berpotensi dari universiti itu disasarkan kepada pencegahan jangkitan COVID-19,” katanya.

Persidangan dua hari yang dianjurkan KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dengan tema “Mempercepatkan Transformasi Sistem Kesihatan dalam Pandemik – Cabaran & Peluang” dilancarkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button