Berita Utama

PAS tetap tidak setuju DAP dalam kerajaan

Tawaran Muhyiddin adalah untuk meredakan seketika bahang politik

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1443H, Sabtu – PAS tidak menolak tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai rangka persefahaman rentas parti, namun bertegas tidak menerima DAP dalam pentadbiran kerajaan.

“PAS tetap tidak setuju kalau DAP berada dalam kerajaan,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilapor Malaysiakini.

Mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Tuan Ibrahim berkata, parti itu melihat ia sebagai jalan keluar untuk kerajaan menghadapi cabaran COVID-19 dan menjayakan program vaksinasi.

“Bagi kerajaan, keutamaan ialah menyelesaikan proses vaksinasi, selamatkan rakyat daripada situasi mencabar ini sebab semua pihak terkesan,” katanya.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu juga menegaskan tawaran dibuat Muhyiddin itu terbuka kepada semua parti.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tawaran yang diberikan Muhyiddin untuk berbincang dengan semua parti politik adalah demi meredakan seketika bahang politik.

Katanya, ia supaya kerajaan masa kini dapat terus fokus dengan agenda utamanya iaitu menangani pandemik COVID-19.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya yang dijadualkan pada September diluluskan. 

Atas semangat kerjasama bipartisan beberapa usul dikemukakan untuk dipertimbangkan pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, rata-rata daripada pihak pembangkang menolak cadangan itu kerana beranggapan tindakan yang dilakukan Muhyiddin bersifat sogokan secara terbuka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button