Pemerintahan bipartisan stabilkan bahang politik negara
Muhyiddin atau PM baharu digesa laksana konsep pemerintahan ini
BANGI, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, Perdana Menteri baharu digesa melaksanakan konsep pemerintahan bipartisan atau kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun ketika ini, tiada seorang pun Ahli Parlimen dapat membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.
Justeru, jika Muhyiddin meletak jawatan sekalipun, Perdana Menteri baharu yang naik juga tidak akan menikmati sokongan yang padu, dakwa Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad.
“Jika kita bersetuju untuk Muhyiddin turun, kita kena desak Perdana Menteri yang baharu nanti laksana konsep pemerintahan bipartisan atau kerajaan perpaduan.
“Kekalkan menteri Perikatan Nasional (PN) yang ‘perform’ dan gantikan mereka yang gagal.
“Ini penting untuk menstabilkan kerajaan dan menurunkan bahang politik negara,” katanya menerusi hantaran di Twitter miliknya, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin berkata, beliau mempunyai dua pilihan untuk mengatasi kemelut politik negara ketika ini iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum atau meletak jawatan menurut Perlembagaan Persekutuan.
Biarpun begitu, beliau menjelaskan tidak meletakkan jawatan kerana tiada seorang Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan mempunyai majoriti cukup untuk menjadi Perdana Menteri baharu.
Jelas beliau, sekiranya Perdana Menteri baharu tidak boleh dilantik maka kerajaan baharu yang akan mentadbir negara juga tidak boleh dibentuk.