Berita Utama

Vaksin COVID-19 berkesan menentang varian Delta

Ambil contoh Labuan, Sarawak kadar kemasukan ke hospital, ICU makin kurang

KUALA LUMPUR, 5 Muharram 1443H, Sabtu – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa semua vaksin yang digunakan di bawah Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negara berkesan menentang varian Delta.

Mengambil Labuan dan Sarawak sebagai contoh, katanya, vaksinasi telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mengurangkan keperluan pengunaan ventilator.

Beliau yakin kes di Lembah Klang juga akan berkurangan selepas mencapai 50 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang 31 Ogos ini.

“Kita sudah mula melihat perkembangan positif. Di Lembah Klang apabila kita mula memberi vaksin kepada warga emas lebih 60 tahun, jumlah pesakit di Hospital Sungai Buloh menurun dan kini kumpulan berusia 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga menurun dalam seminggu yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 secara maya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 67 penjujukan genom dilaksanakan di negara ini dari 17 Julai hingga Ogos ini, 66 disahkan sebagai varian Delta.

Menurutnya, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught adalah lebih tinggi bagi varian Delta dan oleh itu lebih banyak penularan berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik pada 2019.

“R-naught untuk virus Wuhan bermula dari 2.5, bermakna seseorang boleh menjangkiti 2.5 orang tetapi kini virus ini (Delta) dilaporkan pada kadar lima hingga lapan…bermakna jika 100 orang dijangkiti, mereka boleh menjangkitkan 500 hingga 800 orang dalam satu kitaran. Ia sama seperti cacar air (11 hingga 12) dan campak (18),” katanya.

Katanya lebih banyak varian dijangka muncul sambil menambah bahawa mutasi berlaku apabila terdapat jangkitan yang menyebabkan virus masuk ke paru-paru dan membiak.

“Mungkin dalam tiga atau empat kitaran, kita boleh melihat lonjakan mutasi protein yang menjadi rintangan kepada vaksin dan mungkin kita tidak dapat mengesan daripada ujian. Kebimbangan itu wujud tetapi kita perlu melihat kepada penyelesaian, kaedah terbaik untuk membendung jangkitan ini,” katanya.

Mengulas penggunaan ubat Ivermectin, Dr Noor Hisham berkata keputusan ujian klinikal berhubung keberkesanan ubat itu akan diperoleh bulan depan.

Beliau berkata kajian vitro (eksperimen di makmal) menunjukkan beberapa hasil tetapi kajian vivo (eksperimen terhadap organisma hidup) menunjukkan dos tinggi Ivermectin diperlukan untuk mencapai kesan antivirus dan ia mungkin memberi beberapa komplikasi lain.

Beliau menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kajian terhadap tiga jenis ubat untuk merawat pesakit COVID-19 seperti dumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu artesunate, imatinib dan infliximab.

Katanya ujian bersepadu terhadap ubat-ubatan yang digunakan pada masa lalu seperti Remdesivir, Hydroxychloroquine dan Lopinavir menunjukkan ia tidak berkesan menentang COVID-19.

Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 190 gelandangan menerima suntikan lengkap pada fasa pertama dan 133 individu pada fasa kedua program ‘Vaksinasi COVID-19 [email protected]’ di Kuala Lumpur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button