20 maut, 79 cedera lori tangki minyak meletup di Lubnan
Tiada lagi subsidi bahan bakar, harga semua komoditi dijangka naik

BEIRUT, 6 Muharram 1443H, Ahad – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 79 lagi cedera dalam insiden letupan membabitkan lori tangki minyak di wilayah Akkar, utara Lubnan.
Sumber tentera dan keselamatan berkata, letupan berlaku ketika tentera Lubnan mengedarkan petrol kepada penduduk selepas merampas bahan api yang telah disembunyikan.
Letupan itu disifatkan paling mengerikan di negara berkenaan sejak letupan di pelabuhan Beirut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 214 orang, mencederakan ribuan yang lain dan memusnahkan sebahagian ibu negara.
Saksi kejadian berkata, kira-kira 200 orang berada di kawasan berhampiran ketika letupan pada awal pagi Ahad.
Terdapat pelbagai maklumat mengenai punca letupan.
Letupan berlaku ketika Lubnan menghadapi kekurangan bahan bakar yang parah disebabkan penyeludupan, penimbunan dan ketidakmampuan kerajaan untuk mendapatkan penghantaran bahan bakar yang diimport.
Krisis memburuk secara mendadak minggu ini selepas Bank Pusat memutuskan untuk menghentikan subsidi produk bahan bakar – keputusan yang dijangka akan mengakibatkan kenaikan harga hampir semua komoditi di Lubnan.
Semalam, pasukan tentera Lubnan dikerahkan ke stesen minyak bagi memaksa pemilik menjual bahan bakar kepada pelanggan.
Beberapa pemilik stesen enggan menjual kerana mahu mengaut untung selepas berakhirnya subsidi.
Selain itu, tentera Lubnan turut memerangi penyeludup yang aktif di sepanjang sempadan Syria dan merampas ribuan liter petrol. – Agensi