Berita Utama

‘Lembah Klang mulai nampak titik cahaya di hujung terowong gelap’

Kes rujukan Kecemasan ke ICU pesakit COVID kritikal makin berkurangan

KUALA LUMPUR, 6 Muharram 1443H, Ahad – “Kalau dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di ED (Jabatan Kecemasan). Sekarang dah nampak lantai.”

Demikian perkongsian seorang Pakar Anestesiologi di Hospital Kuala Lumpur, Dr Hana Hadzrami, menerusi laman Facebooknya.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tapi penuh harapan,” katanya yang percaya perkembangan positif itu disebabkan peningkatan vaksinasi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, kes rujukan dari Jabatan Kecemasan kepada Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit COVID kritikal semakin berkurangan.

“Kalau dulu, panjang senarai menunggu di papan tulis ICU dengan kertas bersambung-sambung sebab tak cukup ruang. Sekarang dah nampak sedikit ruang,” katanya lagi dalam catatan yang setakat ini menerima lebih 1,600 komen dan 9,400 perkongsian pengguna Facebook.

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 dalam kalangan warga emas juga didapati menurun sejak awal Julai, manakala jumlah kemasukan pesakit warganegara menurun sejak minggu lalu.

Tambahnya, majoriti pesakit COVID-19 yang datang menerima rawatan di hospital itu sejak minggu lalu adalah dalam kalangan warga asing.

Beliau turut berkongsi maklumat bahawa pesakit kritikal yang menerima rawatan di ICU dan pesakit meninggal dunia juga semakin berkurangan.

Katanya, walaupun jumlah pesakit kategori ringan masih ramai, mereka cuma memerlukan pemantauan dan rawatan di wad saja.

Dr Hana yang juga ahli Medical MythBuster Malaysia berkata, masih ada kemasukan pesakit COVID-19 kritikal ke ICU dalam kalangan warganegara, namun terdiri daripada mereka yang menolak vaksinasi.

“Ada juga pesakit COVID kritikal dalam kalangan yang divaksin, namun mereka sembuh sangat cepat berbanding yang tak divaksin langsung,” katanya.

Beliau berkata, empat pesakit di hospital yang sudah divaksin memerlukan bantuan pernafasan hanya tiga hingga empat hari, berbanding dua hingga tiga minggu bagi pesakit lain yang tidak sempat menerima vaksin.

“Mereka (yang sudah divaksin) pulih dengan X-ray dada yang bersih berbanding dengan majoriti (tidak sempat divaksin) yang rabak paru-parunya. Belum masuk yang dah meninggal,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pesakit COVID-19 di ICU hospital itu masih ramai hasil kemasukan pesakit sejak sebulan lalu, malah jumlah kes kematian sebelum tiba ke hospital juga masih ramai.

Melihatkan kepada situasi itu, beliau mengajak orang ramai untuk terus berusaha dan bertawakal bagi memerangi wabak COVID-19 dengan mengambil vaksin.

“Tak sabar nak jadi macam Sarawak. Di sana pesakit COVID-19 kritikal di ICU hanya tiga orang sejajar dengan kelajuan dan keluasan kadar vaksinasi mereka,” katanya. – BERNAMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button