Berita Utama

Mohon Agong selesaikan kemelut politik ikut Perlembagaan

Pemain politik terbabit salah guna kuasa perlu undur diri

BANGI, 6 Muharram 1443H, Ahad – Krisis politik semakin menjadi-jadi memerlukan jalan keluar supaya pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini dapat diatasi sepenuhnya.

Atas dasar itu, BERJASA memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa menangani kemelut ini berlandaskan peruntukan Perlembagaan.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, beliau bimbang tawaran kerjasama semua pihak dikemukakan Perdana Menteri baru-baru ini memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Jika pendekatan rentas parti ini sehingga berlakunya tawar-menawar yang perlu dibayar demi kelangsungan kuasa politik, maka BERJASA memohon dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menangani kemelut ini berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Dalam kerjasama ini, asas syura adalah pendekatan yang terbaik. Istilah parti mana yang dominan tidak boleh dijadikan pegangan.

“Pemain-pemain politik yang sarat dengan isu rasuah, salah guna kuasa dan integriti perlu undur diri dengan hormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) – pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin – supaya tidak sesekali mengadaikan prinsip demi agama, bangsa dan negara.

“BERJASA tanpa ragu menyatakan bahawa sebarang tawar-menawar sehingga merugikan agenda watan adalah pengkhianatan dan pemimpin sebegini tidak layak untuk diangkat pada PRU15 nanti,” tegasnya.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berkata, dalam suasana kerajaan sedia ada tidak kuat, pandemik COVID-19 semakin mengganas, parti Melayu dan Islam ada pilihan yang terbaik dan bertepatan dengan maqasid syarak untuk mengatasi masalah itu.

Bagaimanapun beliau kesal perkara itu diabaikan pihak berkenaan.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kita sama-sama bina semula negara dengan meramaikan pemimpin muslim yang berwibawa dan berjiwa watan.

“Kita tidak perlukan ‘pasu bunga’ yang diam membisu dalam dewan Parlimen,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button