Berita Utama

Status MySejahtera masih ‘jingga’, kes rasuah Rosmah ditangguh

Status MySejahteranya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek tenaga solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditangguhkan lagi kerana status MySejahteranya masih menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan perbicaraan hari ini selepas peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memaklumkan mahkamah bahawa status MySejahtera anak guamnnya masih jingga.

“Untuk makluman Yang Arif, anak guam saya hadir hari ini di perkarangan mahkamah. Beliau berada di dalam kereta sekarang. Status MySejahteranya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah,” kata peguam itu.

Menjawab perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan kepada Hakim Mohamed Zaini agar menjalankan perbicaraan secara hibrid, iaitu Rosmah boleh terus memberi keterangan dari rumah atau pejabat peguamnya.

“Saya percaya kita boleh meneruskan prosiding ini secara maya dan kita (pendakwaan) akan mempunyai TPR yang menyelia dan mereka (pembelaan) boleh meminta peguam hadir,” kata Sri Ram.

Bagaimanapun, hakim berkata beliau mahu lebih berhati-hati pada peringkat perbicaraan ini.

“Saya telah berfikir tentang itu dan saya telah meneliti statut yang berkaitan, nampaknya tidak ada sebarang peruntukan dan saya ingin lebih berhati-hati.

“Kita tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya kerana fikir ia (perbicaraan hibrid) okey pada peringkat ini,” kata hakim.

Mahkamah kemudian menetapkan tiga tarikh tambahan untuk perbicaraan iaitu pada 13, 23, 24 Disember dan enam hari lagi pada 10, 11, 12, 13 dan 14 Jan serta 4 Februari tahun depan.

Pada 8 Disember, hakim yang sama telah menangguhkan perbicaraan Rosmah atas alasan prosedur operasi standard (SOP) kompleks mahkamah hanya membenarkan orang yang berstatus ‘biru’ MySejahtera yang boleh memasuki bangunan dan tidak membenarkan mereka yang mempunyai kontak rapat atau kontak kasual (dengan individu positif COVID-19 ) ke dalam premis.

Rosmah yang menyambut hari lahirnya yang ke-70 hari ini menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button