Pendapat

PM hilang majoriti, apa proses seterusnya?

Tegur, kritik bukan bermakna sokong kerajaan atau pembangkang, tetapi tanggungjawab kita jaga negara

PERKARA 43(4) menyatakan jika PM hilang majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.

2. Meletak jawatan adalah pilihan PM dan bersetuju dengan permintaan pembubaran Parlimen adalah kuasa budi bicara Agong (Perkara 40(2)(b)).

3. Bagaimana Agong hendak lantik PM baharu kerana parti pembangkang tidak sepakat dengan calon PM?

4. Setelah PM meletakkan jawatan, soal pemilihan PM adalah kuasa budi bicara Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

5. Siapa Agong akan pilih? Mengikut konvensyen, Agong akan meminta ketua pembangkang terlebih dahulu untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti. Sekiranya tidak ada, Agong akan meneruskan pertimbangan baginda untuk memilih sesiapa yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

6. Bolehkah PM pindahkan jawatan PM kepada Timbalannya? Tidak boleh. Semua proses kena bermula semula sehinggalah Agong berpuas hati calon yang dipilihnya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

7. Kenapa pada tahun 2003 Tun Mahathir boleh serahkan jawatan PM pada Timbalannya dan pada tahun 2009 Tun Abdullah boleh serahkan jawatan PM pada Timbalannya? Ini bukan soal serah, tetapi pada waktu itu Agong yakin calon yang dipilihnya mempunyai majoriti ahli Dewan.

8. Apa berlaku setelah Agong memilih PM? PM yang baharu dilantik perlu mendapatkan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat. Dalam sejarah kita, PM yang tidak membentangkan undi percaya di Dewan setelah dilantik ialah PM sekarang.

9. Semoganya sesiapapun yang baginda Agong pilih, kita mendapat PM yang terbaik untuk mengurus negara ini. Tanggungjawab PM berat dan kita akan terus memainkan peranan untuk menegur dan mengkritik kepemimpinan baharu. Menegur dan mengkritik bukanlah bermaka kita menyokong kerajaan atau pembangkang, tetapi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga negara kita.

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff 
Penganalisis politik

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button