Berita Utama

Syarikat wajib laksana ujian RTK Antigen setiap 2 minggu

Tidak patuh SOP boleh dikenakan tindakan termasuk kompaun

KUALA LUMPUR, 6 Muharram 1443H, Ahad -Syarikat wajib melaksanakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen seperti mana yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kaedah ujian kendiri atau di fasiliti kesihatan setiap dua minggu bagi pekerja yang hadir ke premis.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, langkah tersebut merupakan tambahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata SOP semasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain adalah masih terpakai dan wajib dilaksanakan syarikat.

“Kerajaan ingin mengingatkan kewajipan syarikat-syarikat untuk mematuhi SOP sepenuhnya dan ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun atau penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” jelas kementerian itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran termasuk kedai gunting rambut, dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

Bagaimanapun, terdapat prosedur-prosedur SOP kesihatan tambahan yang mesti dipatuhi bagi kedai pakaian, fesyen dan aksesori; kedai barang kemas; serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

MITI berkata selain itu syarikat perlu membuat pengisytiharan kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sebenar di Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) 3.0 
Selepas pengisytiharan, syarikat boleh secara terus memuat turun surat kelulusan beroperasi yang baharu.

“Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja.

“Pengesahan mengenai kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Lawatan verifikasi secara berkala turut akan dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa ke atas syarikat-syarikat sektor pembuatan, tambah kementerian itu.
-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button